Azman beri penjelasan dengan cara terbaik

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Usaha dilakukan bekas Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd, Tan Sri Azman Mokhtar, untuk menjelaskan isu tertentu daripada salah faham dalam kalangan orang awam mendapat pujian beberapa pihak.


Dalam surat perpisahannya seperti yang dilaporkan, Azman menjelaskan beberapa isu yang “hangat” diperdebatkan oleh orang awam dengan cara terbaik mungkin dan mengikut undang-undang, kata Pensyarah Kanan dan Pengurus Pembangunan Perniagaan Sekolah Perniagaan Putra, Dr Ahmed Razman Abdul Latiff.


“Selain daripada ucapan perpisahan biasa, beliau mengambil peluang memperjelaskan beberapa isu yang diperdebatkan orang awam dan tidak menjelaskan beberapa isu yang akan mempunyai implikasi undang-undang jika ia didedahkan atau dibincangkan,” katanya kepada Bernama.


Bagaimanapun, Ahmed Razman percaya, peletakan jawatan Azman dan yang lain tidak akan memberi kesan kepada pelaburan semasa dan perancangan strategik entiti itu.


“Sebarang perubahan terhadap pelaburan dan perancangan strategik seharusnya terus dipertingkatkan dan tidak semata-mata tertumpu untuk mengurangkan hutang negara sahaja,” katanya.


Di dalam surat yang dialamatkan kepada “rakan sekerja dan pekerja” itu, Azman berkata, kerugian Khazanah daripada pelaburan Swiss Bank UBS adalah  RM1.7 bilion dan bukannya RM3 bilion seperti yang banyak dilaporkan.


Melalui usaha pemulihan Khazanah, katanya dana berkenaan berjaya mendapat balik 53.5 peratus daripada pelaburan itu sementara semakan dalaman oleh ahli lembaga pengarah bebas dengan input daripada KPMG, kes itu bebas daripada salah laku.


Selepas 14 tahun dua bulan menerajui Khazanah, Azman akan digantikan oleh Datuk Shahril Ridza Ridzuan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja berkuatkuasa 20 Ogos.  –Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]