Duo Afif-Hilman tawar diri jawatan tertinggi AMK

in Politik by


PETALING JAYA – Timbalan Ketua AMK, Dr Afif Bahardin dan Setiausaha Politik Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Muhammad Hilman Idham bergandingan menawarkan diri untuk pemilihan PKR.


Afif, mengumumkan bertanding bagi jawatan Ketua AMK, manakala Muhammad Hilman sebagai calon timbalannya.


Keputusan itu diumumkan dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan bersama hari ini.


Menurut mereka, kepimpinan AMK yang kuat dan bersatu padu penting untuk merencana masa depan Malaysia Baharu serta menjamin pelaksanaan agenda reformasi di Putrajaya.


“AMK adalah PKR masa depan. Maka atas nama perjuangan PKR, kami dengan rasa insaf dan tawaduk menawarkan diri sebagai calon Ketua AMK dan calon Timbalan Ketua AMK,” kata mereka.


Menurut mereka, keputusan itu dibuat setelah berbincang dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pimpinan-pimpinan utama parti, teman-teman seperjuangan di Permatang Pauh dan di Gombak serta akar umbi AMK.


“Kami berharap dengan sokongan semua anggota AMK untuk bersama-sama PKR Masa Depan, kita dapat menjana semula satu muafakat baru bagi membangun sayap AMK yang kuat dan progresif,” kata mereka.


Jawatan Ketua AMK ketika ini disandang oleh Nik Nazmi Nik Ahmad yang akan mengundur diri atas faktor usia.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]