'Jangan ambil mudah cabaran Felcra'

in Sukan by


IPOH – Kesebelasan Perak tidak boleh mengambil mudah aksi sulung Piala Malaysia berdepan Felcra di Stadium Perak, malam esok.


Presiden Die Hard Fanz (DHF), Roslan Mat Baharom berkata, kesebelasan pemain perlu menyajikan persembahan berkualiti dan bertenaga demi meraih tiga mata berharga di gelanggang sendiri.


Justeru, ketua jurulatih Mehmet Durakovic diharap dapat memperbaiki segala kelemahan dan menjadikan skuad The Bos Gaurus itu sebagai antara pencabar kuat dalam saingan Piala Malaysia kali ini.


“Diharapkan Perak tidak ambil mudah pertemuan dengan Felcra. Penyokong pastinya mahukan kemenangan.


“Yang penting, semua penyokong diharap dapat memenuhi Stadium Perak bagi memberikan sokongan berterusan kepada pemain,” katanya kepada Sinar Harian.


Krew yob4ever.com, Ahmad Zaimy Mohd Yatim berharap kesebelasan pemain dapat memberikan fokus sepenuhnya pada perlawanan malam esok.


Katanya, sebarang kegagalan mengutip mata maksima akan menimbulkan kemarahan penyokong yang sudah sedia marah ekoran krisis melanda pasukan.


“Diharapkan, pemain dapat fokus pada perlawanan. Ketepikan seketika isu-isu pengurusan yang berlaku sekarang. Semoga berjaya Perak. Yob4ever.com sentiasa menyokong kome,” katanya.


Sementara itu, Presiden Perak Legendary Fans (PLF), Hakimi Abdul Halim berharap agar ketua jurulatih, Mehmet Durakovic dapat memperkemaskan lagi setiap posisi bagi merealisasikan kemenangan.


Selain itu katanya, setiap pemain juga perlu mengelak daripada melakukan kesilapan-kesilapan mudah yang boleh mengundang padah kepada pasukan.


“Kepada pemain, bermainlah demi lencana di dada. Jangan buat kesilapan mudah. Insya-ALLAH, Perak mampu pergi jauh,” katanya.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]