Kami bukan macai: GPMS Kelantan

in Edisi by


KOTA BHARU – Tindakan menamakan pemimpin belia sebagai macai politik disebabkan mereka memegang jawatan dalam parti dilihat sebagai tidak tepat, kata Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kelantan, Nik Saiful Adli Burhan.


Menurutnya, sebagai penggerak aktif persatuan belia selama 12 tahun sejak 2006, beliau amat tersinggung dengan kata-kata Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang didakwa melihat penggerak NGO Belia ini sebagai macai politik, lebih-lebih lagi ia disebut dalam Parlimen.


“Penggerak pertubuhan belia bukanlah jawatan yang bergaji mahupun dijanjikan projek dan tender. Mereka sukarelawan yang ingin berkhidmat kepada masyarakat dengan kelebihan-kelebihan yang dikurniakan kepada mereka.


“Ada yang membantu melalui tuisyen percuma, ada mendekati golongan belia terpinggir, ada yang bantu belia mengembangkan bakat dan tidak kurang pula ada yang bantu dalam kewangan.


Saya mengagumi golongan ini yang sanggup habiskan masa dan wang ringgit demi berkhidmat kepada masyarakat,”katanya kepada Sinar Harian di sini.


Menurutnya, pertubuhan belia ini adalah pelbagai dan lebih 40 pertubuhan termasuk GPMS dan Belia 4B yang disebut oleh menteri semalam berada di bawah Majlis Belia Malaysia.


Sementara itu, dalam perkembangan lain, Saiful juga kini dilantik menjadi Exco Pergerakan Pemuda Umno berkuat-kuasa 2 Ogos bagi penggal 2018/2021.


Beliau juga merupakan satu-satunya wakil dari Kelantan dilantik ke jawatan tersebut.


Mengulas mengenai perkara tersebut, beliau berikrar untuk berkhidmat kepada parti dan bangsa, mengubah imej Pemuda Umno sebagai parti politik kepartian semata-mata kepada parti politik yang berkhidmat kepada bangsa tanpa mengira keuntungan peribadi.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]