Kerajaan Perak beri kerjasama penuh kepada SPRM

in Uncategorized by


KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri Perak akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan penyelewengan berjumlah RM9.18 juta melibatkan anak syarikat milik kerajaan negeri, Pusat Kerjaya Amanjaya (Peka).


Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu berkata, kerajaan negeri memandang serius dakwaan penyelewengan yang membabitkan ketirisan jutaan ringgit dana rakyat di bawah pengurusan pentadbiran yang lalu.


“Kerajaan negeri menyerahkan sepenuhnya kepada SPRM untuk menjalankan siasatan berhubung penyelewengan yang telah berlaku dalam Peka sejak ia ditubuhkan pada tahun 2011 sehingga Mei lalu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perak Pavillion sempena Pameran Sukan dan Kecergasan Antarabangsa (MISFIT 2018) di sini hari ini.


Kenyataan itu susulan penahanan bekas ketua pegawai eksekutif Peka yang direman tujuh hari bermula hari ini selepas seorang anggota Lembaga Pengarah Peka Datuk Zainol Fadzi Paharuddin membuat laporan kepada SPRM kelmarin berhubung dakwaan tuntutan palsu melibatkan kerugian bernilai jutaan ringgit.


Jumlah penyelewengan itu membabitkan tuntutan bulanan perkhidmatan konsultan dan tuntutan ke atas program yang tidak dilaksana dalam tempoh lima tahun.


Sementara itu, Ahmad Faizal berkata kerajaan negeri akan terus menjalankan siasatan dalaman ke atas semua syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) dan agensi kerajaan negeri.


“Sekiranya wujud unsur penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah, laporan akan dibuat segera kepada SPRM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan untuk tindakan lanjut,” katanya. –Bernama


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]