Manifesto Harapan Perak bukan 100 hari

in Uncategorized by


IPOH – Harapan Perak tidak pernah mengatakan bahawa janji manifesto peringkat negeri perlu dilaksanakan dalam tempoh 100 hari.


Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu berkata, Perak mempunyai manifesto khusus yang diumumkan sebelum PRU lalu selain manifesto di peringkat Pusat.


Katanya, walaupun tidak diletakkan tempoh 100 hari untuk melaksanakan sebahagian manifesto itu, kerajaan negeri tetap komited melaksanakan semua janji secepat mungkin.


“Ini komitmen kita sejak hari pertama mengambil alih kerajaan malah saya bersama rakan Exco sedang bekerja keras untuk menunaikan janji-janji ini.


“Ada yang sudah kita mulakan seperti pemberian air percuma dan diskaun air,” katanya dalam sesi Wawancara Bersama Media Perak, di Kediaman Menteri Besar Perak, di sini, Rabu lalu.


Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Faizal berkata, selain melunaskan janji manifesto, pihaknya juga sedia menambah baik sebarang keputusan yang dibuat untuk rakyat.


Katanya, sebagai contoh dalam pemberian diskaun air untuk 20 meter padu pertama untuk semua pengguna domestik dengan anggaran potongan sebanyak RM1 hingga RM2, ada yang melihat nilai tersebut terlalu kecil.


Beliau berkata, nilai tersebut bukanlah ukuran tetapi komitmen kerajaan untuk melaksanakan janji itu dilaksanakan.


“Mungkin ada yang menganggap ia kecil tetapi dari segi implikasi kewangan LAP melibatkan RM8 juta setahun.


“Kita sedia mendengar cadangan atau pandangan mana-mana pihak untuk tambahan baik keputusan kerajaan jika ia membantu rakyat,” katanya.


Kad kesihatan, makanan dilaksanakan tahun ini


Sementara itu, Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri akan memperkenalkan kad kesihatan dan makanan kepada golongan sasaran.


Katanya, pelaksanaan kad kesihatan dan makanan digunakan untuk klinik kesihatan swasta selebihnya untuk membeli barangan asas.


Katanya, pihaknya akan melaksanakan pemberian kad tersebut tahun ini untuk dimanfaatkan rakyat.


“Pelaksanaan boleh disegerakan tapi masalah untuk penduduk kampung yang sukar menggunakan kad di kedai di kampung sebab memerlukan alat khas untuk akses kad.


“Fokus kita untuk bantu mereka di pedalaman dan kampung-kampung bagi meringankan beban,” katanya.


Ahmad Faizal berkata, jumlah nilai kad tersebut belum dimuktamadkan tetapi dianggarkan RM200 bagi perubatan manakala RM80 untuk makanan.


Menurutnya, melalui kad ini, penerima boleh membeli barangan keperluan asas dan rawatan kesihatan asas berdasarkan bantuan bulanan yang diperuntukkan.


Rumah mampu milik 1,000 kaki persegi


Sementara itu,  Ahmad Faizal mengumumkan akan memperkenalkan Skim Rumah Mampu Milik bagi mengatasi masalah perumahan rakyat.


Katanya, melalui kerjasama dengan pemaju swasta, harga rumah yang ditawarkan lebih murah dengan keluasan 1,000 kaki persegi.


Beliau berkata,  harga yang ditawarkan bagi rumah tersebut bernilai RM90,000 seunit.


“Untuk permulaan, kita sasarkan untuk membina antara 250 ke 300 unit


“Ini adalah komitmen kerajaan negeri untuk membina rumah mampu milik untuk rakyat Perak,” katanya.


Jual air ke Selangor, Pulau Pinang


Dalam pada itu, kerajaan negeri berhasrat menjual air terawat kepada dua negeri jiran mereka iaitu Selangor dan Pulau Pinang.


Ahmad Faizal berkata, perkara itu sudah pun dibincangkan bersama Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar bagi menentukan kaedah terbaik untuk melaksanakannya.


Katanya, Lembaga Air Perak (LAP) juga diarahkan membuat kajian terperinci mengenai pelaksanaan itu.


“Saya sudahpun mengadakan perbincangan secara tak formal dengan rakan sejawatan dari Selangor dan Pulau Pinang. Hasrat kita untuk menjual air terawat bukan raw water.


“Untuk tujuan itu kita mencari tempat sesuai bagi membina loji rawatan air sebelum dijual di kedua-dua negeri ini,” katanya.


Beliau berkata, setakat ini belum ditentukan kadar jualan air itu namun kerajaan negeri berharap sebarang kadar itu bersesuaian dengan pengorbanan negeri menjaga kawasan tadahan air.


Katanya, pelaksanaan penjualan air itu dijangka akan dilaksanakan pada tahun ini.


Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan negeri juga akan mengurangkan lagi kadar sumber air tidak berhasil (NRW).


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]