Penambahan kotak undi kurangkan kesesakan

in Edisi Selangor KL by


SHAH ALAM – Penambahbaikan dari segi jumlah kotak mengundi di seluruh pusat pengundian bagi PRK Sungai Kandis esok dijangka mampu mengurangkan kesesakan ketika proses pengundian berlangsung bermula jam 8 pagi sehingga 5.30 petang.


Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Othman Mahmood berkata, sebelum ini, hanya dua kotak mengundi disediakan tetapi kali ini penambahan satu kotak lagi dibuat menjadikan keseluruhannya berjumlah tiga kotak.


“Jadi lebih mudah untuk pengundi…tiga orang boleh masuk serentak ke bilik mengundi berbanding sebelum ini.


“Kita harap ia akan dapat mengurangkan kesesakan di tempat-tempat mengundi khususnya yang mempunyai jumlah pengundi yang ramai,” katanya memberitahu kira-kira 80 peratus daripada 51, 230 pengundi di Sungai Kandis dijangka keluar mengundi esok.


Menurutnya, orang ramai juga diingatkan untuk keluar mengundi awal serta merancang perjalanan masing-masing ekoran keadaan cuaca yang tidak menentu sekarang.


“Sebelum keluar pastikan bawa MyKad, buat semakan tempat dan saluran mengundi serta ambil nombor giliran yang ada dalam semakan bagi memudahkan proses pengundian.


“Jika semua maklumat dah ada, boleh terus ke tempat saluran mengundi dan beratur, tak perlu semak lagi di barong SPR sekaligus dapat kurangkan kesesakan di kawasan tersebut,” katanya ketika ditemui media selepas meninjau persiapan para petugas PRK Sungai Kandis di Dewan Besar Tanjung, Seksyen 19, di sini, hari ini.


Dalam pada itu, Othman memberitahu, tinjauan persiapan dilakukan pihaknya hari ini adalah untuk memastikan kesemua persiapan terakhir bagi menghadapi PRK Sungai Kandis berada dalam keadaan baik.


“Kita panggil semua ketua tempat mengundi untuk membuat semakan peti undi, dakwat, peralatan, dokumen termasuk semua keperluan pengundian esok,” katanya memberitahu seramai 789 petugas akan terlibat di 19 tempat mengundi serta 109 saluran.


PRK Sungai Kandis adalah yang pertama sejak PRU14, susulan penyandang kerusi berkenaan yang juga calon PKR, Shuhaimi Shafiei meninggal dunia akibat penyakit kanser pada 2 Julai lalu.


Dalam perkembangan lain, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharuddin Mat Taib berkata, pihaknya mempunyai kekuatan penugasan anggota dan pegawai yang mencukupi bagi menghadapi PRK Sungai Kandis esok.


Menurutnya, seramai 1,200 anggota dan pegawai terlibat merangkumi semua elemen-elemen tugas am bagi menjaga kawalan keselamatan di pusat mengundi, penugasan trafik di semua tempat termasuk lalu lintas dan pergerakan kawalan peti-peti undi ke tempat mengundi, penugasan pasukan siasatan jenayah untuk memantau elemen jenayah serta penugasan cawangan khas untuk salurkan maklumat-maklumat keselamatan jika ada yang boleh mengancam keselamatan perjalanan PRK kali ini.


“Kita juga mendapat bantuan daripada Bukit Aman termasuk bantuan unit FRU, udara dan drone…..Kita sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi sebarang kemungkinan esok.


“Orang ramai atau penyokong yang akan keluar mengundi juga diingatkan untuk keluar awal mengundi,meletakkan kenderaan di tempat-tempat dikhaskan, tidak meraih undi di kawasan 50 meter daripada pusat-pusat pengundian termasuk membuat hasutan kepada mana-mana pihak,” katanya turut mengingatkan agar pengundi mematuhi undang-undang dan mengelakkan provokasi jika bertembung dengan parti lawan.


Beliau berkata, pengundi juga harus berhati-hati dan tidak menyerahkan MyKad kepada individu tidak dikenali melainkan petugas-petugas SPR, jalankan tanggungjawab dengan berhemah dan terima segala keputusan yang akan diumumkan dengan hati yang terbuka.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]