Perkahwinan kanak-kanak 11 tahun tidak sah?

in Edisi by


KOTA BHARU – Perkahwinan kanak-kanak berusia 11 tahun dengan lelaki berumur 41 tahun yang pernah mendapat perhatian sebelum ini tidak boleh didaftarkan di negara ini.


Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Dr Fuziah Salleh berkata, ini kerana perkahwinan  pasangan dari Kelantan dan Thailand itu tidak sah dari segi undang-undang negara.


 “Kalau kahwin luar negara dia kena daftar perkahwinan di sini (Malaysia). Kalau pendaftar merasakan ia tidak layak, ia tidak akan disahkan perkahwinan itu. Ia boleh daftarkan bila dia (kanak-kanak) berumur 16 tahun satu hari.


“Kalau mereka tinggal di Kelantan, dalam Malaysia sebagai suami isteri dia boleh ditangkap dan didakwa sebab perkahwinannya tidak didaftarkan di sini. Kalau ikut undang-undang negara mereka ini tidak berkahwin,” katanya kepada media hari ini.


Terdahulu beliau menghadiri Dialog Wanita Kelantan anjuran bersama Kelab Aspirasi Keadilan Wanita Kelantan (Kakak) di Dewan Madina Raudhah di sini, hari ini.


Walaupun sah dari segi hukum syarak tetapi pasangan tersebut katanya, tidak boleh menjalani kehidupan sebagai suami isteri yang lain sehingga perkahwinan berkenaan didaftarkan mengikut prosedurnya.


Dalam pada itu, Fuziah juga memberitahu perkahwinan di bawah umur bagi beragama Islam perlu mendapat kebenaran daripada hakim dan non Muslim pula daripada Menteri Besar mahupun Ketua Menteri.


Bagi kes tersebut katanya, pasangan tersebut tidak membuat sebarang permohonan daripada kedua-dua pihak berkenaan.


“Saya juga ada berjumpa dengan ketua-ketua hakim syarie menerusi persidangan dan kita membincangkan garis panduan yang ketat untuk diguna pakai oleh hakim dalam program menghakimi permohonan kanak-kanak bawah umur ini,” katanya.


Sebelum ini perkahwinan kanak-kanak berusia 11 tahun dengan seorang peraih getah sekerap berumur 41 tahun yang tinggal di Kelantan menggemparkan negara dan turut mendapat perhatian menteri.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]