Perkenal kempen solat berjemaah

in Edisi by


ALOR SETAR – Kerajaan negeri akan memperluaskan kempen solat berjemaah pada waktu Zohor setiap hari di masjid atau surau berhampiran dalam kalangan penjawat awam di negeri ini.


Exco Agama Islam, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, inisiatif itu sudah dimulakan daripada kakitangan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHAIK) dan ia akan diperluaskan kepada agensi kerajaan negeri dan persekutuan di negeri dari masa ke masa.


“Kakitangan JHAIK menjadi contoh kepada agensi kerajaan lain dengan merealisasikan inisiatif ini di Masjid Zahir, hari ini (semalam).


“Kerajaan negeri berharap inisiatif mulia ini tidak hanya terhad kepada jabatan kerajaan sahaja, malah ia akan diperluaskan kepada semua pihak supaya menjadi budaya dan amalan rakyat Kedah, pada masa akan datang,” katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat berkaitan penambahbaikan dalam JHAIK, di Bangunan Wan Mat Saman, di sini, petang semalam.


Selain itu, Dr Ismail berkata, kerajaan negeri di bawah kepimpinan Pakatan Harapan juga akan meneruskan Program Pemutihan Nikah Rentas Sempadan: Mai Daftar Nikah 2018.


“Kerajaan PH mahu meneruskan inisiatif Exco Agama terdahulu, Mai Daftar Nikah bermula 1 April hingga September ini khususnya kepada mereka berkahwin di luar negara yang menekankan usaha melindungi hak isteri dan anak supaya masa depan keluarga dan pendidikan mereka tidak terjejas.


“Kita sedang mempertimbangkan pendaftaran diteruskan selepas tempoh enam bulan ini dan akan mengehadkan tempoh masa supaya individu berkenaan tidak mengambil mudah urusan pendaftaran ini,” katanya.


Bagaimanapun, beliau menegaskan JHAIK tidak akan terlibat dalam urusan penghakiman mahkamah untuk memutuskan hukuman.


“Kita tidak campur tangan dalam penghakiman mahkamah dalam menentukan seperti hanya RM300 didenda kepada pasangan berkahwin dan sebagainya, ia terpulang kepada budi bicara mahkamah.


“JHAIK hanya menjalankan tanggungjawab melengkapkan dokumen untuk proses permohonan dipercepatkan Sijil Nikah Rentas Sempadan supaya tiada rakyat Kedah yang dinafikan hak dalam keluarga dan pemilikan kad pengenalan bagi anak,” katanya.


Katanya, bermula 1 April sehingga 29 Julai, sejumlah 361 kes didaftarkan iaitu sebanyak 165 kes poligami didaftarkan dan monogami 196 kes.


Dalam perkembangan lain, Dr Ismail menasihatkan imam masjid di seluruh Kedah supaya memberi perhatian serius berhubung penyalahgunaan masjid dijadikan platform untuk kepentingan politik.


“Kita minta imam-imam memastikan penggunaan masjid tidak disalahgunakan untuk kepentingan politik ketika menyampaikan ceramah ataupun khutbah. Tindakan seumpama itu akan menjadi keresahan jemaah yang hadir,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]