PIL 1: Pulau Pinang akan perincikan tanah, rumah terlibat

in Edisi by


GEORGETOWN – Kerajaan Pulau Pinang akan memperincikan dan melihat lebih teliti berhubung tanah dan rumah yang bakal terjejas dengan pembinaan projek Pan Island Link 1 (PIL 1) yang dicadangkan.


Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya akan meneliti penyelarasan dan tanah terlibat termasuk pemerolehan tanah yang diperlukan untuk projek itu, minggu depan.


“Kita akan lihat perkara ini mengikut bahagian demi bahagian untuk melihat pemerolehan tanah, berapa banyak rumah terjejas dan bagaimana ia terjejas.


“Setakat ini yang diketahui, lebih 200 rumah terlibat dengan penempatan semula kerana projek tersebut (PIL 1) dan kebanyakannya terletak di sepanjang Sungai Kluang. Hanya sebuah rumah di Jalan Gottlieb terjejas,” katanya kepada media selepas perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dun ke 14 Pulau Pinang, tadi.


Jelasnya, semua penduduk berkenaan boleh melihat Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) bagi PIL 1 yang dipaparkan kepada umum yang mana penduduk boleh mengemukakan maklum balas mereka.


“Projek ini masih di peringkat perancangan dan masih ada ruang untuk kerajaan negeri mempertimbangkan semua maklum balas tentang projek ini,” katanya.


Mengulas mengenai dakwaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) baru-baru ini bahawa Pulau Pinang tidak memerlukan jalan raya seperti itu, Kon Yeow berkata, PIL 1 dirancang untuk 50 tahun akan datang.


“Hari ini mungkin kita rasa ia tidak diperlukan, 30 tahun dari sekarang, mungkin diperlukan. Terdapat keperluan bagi kajian untuk melihat jika Pulau Pinang dapat bertahan tanpa rangkaian jalan yang betul dalam masa 20 tahun tanpa PIL 1.


“Semua projek akan memberi impak, sebab itu EIA diperlukan. Pasti apa-apa projek pun akan memberi impak, walaupun kita berdiri di sini, kita juga memberi kesan kepada alam sekitar. Apa yang penting adalah usaha mengurangkan impak dan bagaimana menangani mitigasi itu supaya kesannya berkurangan,” katanya.


Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus mengambil kira penglibatan teknikal dengan pihak berkepentingan, antaranya Bukit Bendera.


Laporan EIA mengenai PIL 1 masih dipamerkan di lapan lokasi di Pulau Pinang, di Jabatan Alam Sekitar (JAS) di Putrajaya dan Perpustakaan Negara di Kuala Lumpur hingga 10 Ogos ini.


Laporan itu juga boleh dilihat dalam talian di doe.gov.my, penang.gov.my, pgmasterplan.penang.gov.my dan wirandamsdnbhd.com.


Orang ramai boleh mengemukakan maklum balas dan komen kepada JAS mengenai projek tersebut sebelum 24 Ogos ini.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]