Pilih Lokman Adam jika mahu janji ditepati

in Politik by


KUALA LUMPUR – Pengundi di PRK Sungai Kandis diingatkan agar memilih calon BN, Datuk Lokman Noor Adam bagi memastikan  suara dan kepentingan rakyat Selangor tidak dipinggirkan.


Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, jika sesuatu parti terlalu besar dan menguasai kerajaan negeri tanpa suara pembangkang yang kuat, kerajaan itu akan menjadi angkuh sehingga suara dan kepentingan rakyat diabaikan.


“Untuk memastikan suara rakyat tidak dibisukan, kepentingan rakyat tidak diketepikan dan kerajaan negeri dan Persekutuan tidak terlepas dari janji yang mereka pahatkan, pilihlah calon BN Lokman Noor Adam.


“Justeru, rakyat di Sungai Kandis dan Selangor memerlukan pembangkang yang kuat dan seorang wakil rakyat yang berani bersuara dalam memastikan suara rakyat didengari dan hak rakyat Malaysia mengikut perlembagaan, terus dipertahankan,” katanya dalam satu kenyataan.


Justeru, Ahli Parlimen Pekan itu berkata, penambahan bilangan pembangkang di Dun Selangor juga sebagai suara kepada rakyat untuk menuntut segala janji yang dibuat.


“Keadaan ini sedang berlaku, Kerajaan Selangor sudah mula bertindak menarik balik insentif kebajikan yang dulu diberi. Janji yang dibuat kini dikatakan bukan kitab dan tiada keperluan untuk ditunaikan.


“Sebelum pilihan raya, pelbagai janji dihamparkan kepada rakyat. Rakyatlah menjadi keutamaan, rakyat menjadi tunjang kepada perjuangan mereka. Hari ini, lain yang berlaku. Kerajaan menjadi angkuh sehingga suara dan kepentingan rakyat akan diketepikan. Rakyat tidak dijulang lagi sebagai asas pentadbiran,” tulisnya.


Bahkan katanya, dalam tempoh dua bulan lepas, kerajaan PH telah memberi amaran harga air bakal naik, pemberian air percuma sedang dikaji semula untuk dikurangkan dan caj beg plastik bakal dinaikkan lagi.


“Dana kerajaan negeri juga digunakan begitu sahaja untuk membeli syarikat air dengan harga berbilion-bilion  iaitu 10 kali ganda lebih dari harga ditawarkan oleh bekas Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim sebelum ini sehingga negeri berhutang dengan kerajaan Persekutuan lagi.


“Tidak mustahil jika lebih banyak insentif rakyat akan ditarik balik dan langkah yang membebankan rakyat akan dilaksanakan pada masa depan. Pelbagai alasan juga diberi mengapa pelbagai janji pilihanraya tidak dapat ditepati walhal ketika janji dilaungkan, itulah asas yang mendorong pengundi memilih mereka dan kini mereka diperdaya,” kata Najib.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]