Presiden MBM perlu letak jawatan

in Politik by


SHAH ALAM – Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mu’ammar Ghadafi Jamal dan semua kepimpinan di bawahnya yang terlibat dalam kepimpinan Pemuda Umno perlu meletakkan jawatan bagi mengelakkan ia berterusan menjadi tunggangan politik Umno.


Naib Ketua Pemuda Amanah, Shazni Munir Mohd Ithnin mendakwa, tindakan itu sekali gus akan membebaskan MBM daripada kawalan parti politik.


Beliau mendakwa, MBM sebelum ini sering dijadikan tapak pemimpin kanannya untuk ‘naik’ sebagai pimpinan Pemuda Umno.


“Ia bukanlah suatu yang rahsia, malah terbukti apabila ramai pimpinan kanan MBM yang menawarkan diri bertanding dalam pemilihan Pemuda Umno yang lalu. Keadaan ini tidak patut berlaku dan jelas telah mengheret MBM ke ruang partisan.


“Keadaan yang sedia rosak menjadi semakin parah apabila Mu’ammar Ghadafi secara terbuka berkempen memenangkan calon Umno dan BN dalam pilihan raya umum yang lepas. Hal ini jelas telah mencarik sikap tidak berpihak MBM dan beliau selaku presiden perlu mengambil langkah drastik untuk mengembalikan penghormatan awam kepada MBM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


[ ARTIKEL BERKAITAN: Bersihkan persatuan belia daripada macai politik ]  


Kenyataan itu susulan tekad Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mahu membersihkan persatuan belia daripada menjadi macai politik kepada kerajaan bagi mengembalikan peranan mereka sebagai suara pendesak terkuat dalam menentukan hala tuju negara.


Menurutnya, MBM terkenal dalam sejarah kerana menjadi gabungan belia yang dihormati kawan dan lawan.


“Penghormatan yang diraih gabungan ini tidak lain adalah sikap tidak berpihak yang dimiliki selain bebas daripada tunggangan mana-mana parti politik sebelum ini,” katanya.

 


Source: SH Politik

[featured-video-plus]