Shahril Ridza dilantik Pengarah Urusan Khazanah

in Nasional by


KUALA LUMPUR –  Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) melantik Datuk Shahril Ridza Ridzuan selaku pengarah urusan syarikat pelaburan strategik berkenaan.


Shahril Ridza,48, yang sebelum ini lima tahun menjawat jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan memulakan tugas di Khazanah, 20 Ogos ini.


Sebelum menyertai KWSP, Shahril Ridza mengendalikan Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) yang bertanggungjawab membangunkan KL Sentral sebagai pusat komersial utama di negara ini.


Bukan itu sahaja, beliau turut melakar kejayaan dalam Pengurusan Danaharta Nasional Berhad yang membabitkan pemulihan syarikat-syarikat korporat susulan Krisis Kewangan Asia 1997 dan beberapa syarikat lain.


[ARTIKEL BERKAITAN: CEO KWSP ke Khazanah?]


Shahril Ridza pemegang Ijazah Sarjana Seni (kelas pertama) dari Universiti Cambridge dan Ijazah Sarjana Undang-undang Sivil (kelas pertama) dari Universiti Oxford.


Selain itu, Khazanah turut mengalu-alukan kedatangan Pengerusi Khazanah yang baharu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan kesemua barisan ahli lembaga pengarah baharu yang diumumkan oleh Pejabat Perdana Menteri 30 Julai lalu.


Dalam pada itu, Khazanah turut merakam ucapan penghargaan kepada semua barisan pengurusan Khazanah sebelum ini  dan juga bekas Pengarah Urusan, Tan Sri Azman Mokhtar yang telah berkhidmat untuk syarikat itu dan juga negara.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]