SPR terima notis pengosongan Dun Seri Setia

in Edisi Selangor KL by


SHAH ALAM – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan menerima notis pengosongan kerusi Dun Seri Setia berikutan kematian wakil rakyatnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin akibat kanser usus, semalam.


Timbalan Pengerusinya, Tan Sri Othman Mahmood berkata, notis pengosongan itu diserahkan Speaker Dun Selangor, Ng Suee Lim kepada SPR pagi tadi.


“Kita baru saja terima sebentar tadi, masih panas lagi.


“Kita jangkakan mesyuarat khas SPR bagi menentukan tarikh mengundi, penamaan calon serta tarikh berkaitan PRK Dun Seri Setia akan diadakan pada minggu depan,” katanya ketika ditemui media selepas meninjau persiapan para petugas PRK Sungai Kandis di Dewan Besar Tanjung, Seksyen 19, di sini, hari ini.


Shaharuddin dilaporkan meninggal dunia pada jam 6.28 petang, semalam di Hospital Putrajaya, sebelum jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Limau Manis kira-kira jam 10 pagi tadi.


Sementara itu, mengulas mengenai kemungkinan PRK Dun Seri Setia diadakan sekali dengan PRK Dun Balakong, Othman memberitahu, buat masa ini, beliau masih belum dapat memastikan perkara tersebut.


“Kita tak boleh kata ya atau tidak kerana kena ambil kira banyak perkara…..Perlu ada perbincangan serta lihat keperluan terutamanya dari segi kemudahan serta para petugas yang akan terlibat,” katanya.


Pada 21 Julai lalu, Adun Balakong, mendiang Eddie Ng Tien Chee meninggal dunia selepas kenderaan dipandunya merempuh belakang sebuah lori pembersih lebuh raya di Kilometer 11.7 Lebuhraya Grand Saga menghala ke Kajang.


Susulan itu, SPR menetapkan 8 September depan sebagai hari pengundian dan 18 Ogos ini sebagai hari penamaan calon bagi PRK Dun Balakong.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]