Tumpu tindakan penguatkuasaan kekang kenaikan harga

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Masalah yang dialami berkaitan penguatkuasaan perlu diatasi untuk mengekang kenaikan harga barang.


Pengerusi Kumpulan dan Pakar Cukai, Axelasia Inc, Dr Veerinderjeet Singh berkata kekurangan langkah  penguatkuasaan semasa tempoh pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) menyebabkan perniagaan mengambil kesempatan menaikkan harga.


“Kita lihat wujud kelemahan GST dari segi penguatkuasaan dalam menyelesaikan masalah, khususnya bagi pembayaran balik, yang mengambil masa yang panjang, sepatutnya ia perlu dibuat dalam tempoh 14 hari.


“Kelewatan itu menyebabkan pengilang terperangkap dalam kos yang mendorong mereka menaikkan harga. Mereka memberi faktor bahawa telah kehilangan nilai dari segi wang yang telah ditanggung,” katanya kepada pemberita selepas Seminar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) 2.0 di sini, hari ini.


Beliau berkata faktor kelewatan pembayaran balik mungkin disebabkan kekurangan kepercayaan antara Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan peniaga berdaftar, memandangkan JKDM ‘mahu mengaudit setiap perkara’, yang sebaliknya tidak dijalankan di negara lain.


Isu lain berkaitan GST ialah pihak berkuasa bagi cukai tidak langsung adalah JKDM namun penguatkuasaan dijalankan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, yang gagal dalam melaksanakan Akta Anti-Pencatutan, katanya.


Veerinderjeet berkata kenaikan harga berlaku bukan hanya disebabkan GST malah faktor lain seperti kos logistik memandangkan harga bahan api petroleum turut meningkat.


Bagaimanapun, dengan bahan api yang kini diberi subsidi, maka kenaikan harga barang adalah tidak wajar, katanya.


“Kementerian-kementerian perlu lebih serius dalam menangani isu ini, selain lebih peka terhadap peningkatan harga yang tidak sepatutnya dengan menempatkan pegawai yang cekap dalam amalan perakaunan.


“Mungkin Akta Anti-Pencatutan perlu dipinda, sekiranya ia sukar untuk dikuatkuasakan dan mewujudkan kesulitan. Bagaimanapun tiada percubaan untuk memindanya, maka masalah ini akan terus berlaku dalam pelaksanaan SST,” katanya.


Beliau berkata, sebagai contoh semasa tempoh tanpa cukai antara Jun dan Ogos, apabila harga tidak turun secara ketara, ia jelas menunjukkan hasil penguatkuasaan yang teruk.


Veerinderjeet turut mengingatkan, harga bagi barangan tertentu akan menjadi lebih tinggi selepas pelaksanaan SST pada September memandangkan kadar bagi item berkenaan akan menjadi 10 peratus berbanding enam peratus mengikut GST.


Beliau berkata, bagaimanapun secara amnya, harga barangan dan perkhidmatan akan menjadi lebih rendah susulan SST hanya merangkumi 38 peratus daripada Indeks Harga Pengguna berbanding 60 peratus mengikut GST.


Oleh yang demikian, beliau mencadangkan perlunya pengawasan awam memandangkan pemantauan kenaikan harga sewajarnya tidak dijalankan pihak berkuasa disebabkan kekurangan sumber.


“Kementerian berkenaan perlu mengemukakan senarai perbandingan harga selepas pelaksanaan SST seperti yang dilakukan apabila GST diperkenalkan. Perbandingan itu seharusnya dibuat dengan Mei kerana harga sewaktu bulan itu adalah termasuk GST dan dibandingkan dengan harga pada September,” katanya.


Sementara itu, mengenai langkah untuk melaksanakan semula SST, Veerinderjeet menyifatkannya sebagai satu langkah yang terkebelakang.


“Terdapat beberapa negara Afrika yang kembali kepada sistem lama sewaktu ketika peringkat awal (pelaksanaan GST) disebabkan tahap pemahaman, tetapi Malaysia satu-satunya negara yang berbuat demikian selepas beberapa tahun melaksanakannya. Jadi, ini adalah satu langkah yang terkebelakang,” katanya.


Beliau berkata sekiranya kerajaan berpandangan ia adalah kemahuan rakyat kerana mereka tidak memahami GST, maka pelaksanaan semula SST itu adalah wajar, namun tahap pemahaman dalam negara ini sebaliknya adalah baik.


Beliau menasihatkan para peniaga supaya tidak menghapuskan sistem GST yang telah dilengkapkan dengan sistem mereka memandangkan ia mungkin bermanfaat pada masa depan, kerana konsep itu masih merupakan satu-satunya yang cekap, dan mungkin menjadi sistem yang akan diguna pakai Malaysia pada tempoh akan datang.


Veerinderjeet berkata, walaupun rakyat tidak gembira dengan kos sara hidup, namun negara memerlukan hasil dan ia menjadi cabaran kepada kerajaan untuk membuat perubahan dengan SST.


“Kerajaan baharu perlu melihat aspek yang lebih luas daripada hanya tertumpu untuk menepati agenda manifesto pilihan raya.


“Kekalkan GST namun pada kadar lebih rendah, mungkin sekitar tiga hingga empat peratus selain melaksanakan usaha mendidik dan menguatkuasakan dengan baik. Itulah yang boleh menjadi caranya,” katanya. –Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]