Umno tak pernah sibuk rumah tangga PKR

in Politik by


KUALA LUMPUR – Kepimpinan tertinggi Umno menyanggah dakwaan kononnya parti pembangkang itu cuba memporak-perandakan PKR dengan mereka-reka cerita kononnya wujud dua puak iaitu kumpulan menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahathir Mohamad melalui proksinya, Datuk Seri Azmin Ali.


Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa mengingatkan, Timbalan Presiden PKR itu agar tidak perlu Umnophobia sehingga merasakan Umno sengaja buat cerita urusan dalaman PKR.


Annuar menegaskan, Umno langsung tidak berminat perihal rumah tangga PKR seperti didakwa Azmin.


“Azmin tak perlu Umnophobia sehingga merasakan Umno nak reka cerita hal PKR, Umno langsung tak minat.


“Azmin boleh bertanya dirinya sendiri, siapa bos dia, dia terima perintah daripada siapa, dia perjuangkan siapa sekarang? Soal Ahli Parlimen Ketereh itu.


Dalam pada itu, Annuar memberi amaran agar tidak mengaitkan Umno dalam usaha menutup krisis dalaman PKR.


“Kita (Umno) tak ada kena mengena, jangan guna nama Umno untuk tutup masalah beliau (Azmin) dengan PKR.


“Umno ucapkan selamat bertanding buat Azmin,” katanya sinis.


Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata,  parti Melayu itu sedikit pun tidak berminat dengan pemilihan PKR yang akan berlangsung akhir bulan ini.


“Saya tak tahu kebenaran dakwaan Azmin itu, dengar khabar angin saja.


“Bagaimanapun, ini adalah masalah dalam PKR sendiri, tak perlu saya nak kepochi (menyibuk). Umno pun tak berminat berkenaan pemilihan PKR,” ujarnya.


Manakala, Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Razlan Rafii berkata,sememangnya kem Azmin dan Naib Presiden, PKR, Rafizi Ramli sudah lama tegang tetapi cuba tunjuk baik dengan menyalahkan Umno.


“Kalau tidak ada angin masa kan pokok bergoyang, Azmin sendiri yang bergaduh dengan Rafizi, tak kan salahkan Umno pula.


“Bertandinglah secara sihat, jangan sampai rakyat nampak PKR ini kemaruk kuasa dan harta. Tak ada kaitan langsung dengan Umno, PKR sekarang sudah rosak sampai ke usus tidak dapat dibaiki lagi,” bidasnya.


[ ARTIKEL BERKAITAN: Azmin ulangi PKR tak berpecah ]


Semalam, Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi menafikan PKR terpecah kepada dua puak iaitu kumpulan penyokong Anwar dan Dr Mahathir.


Azmin sebaliknya mendakwa, khabar angin berkenaan tersebar angkara agenda Umno yang cuba memecahbelahkan perpaduan PH yang semakin utuh.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]