Bayi di perhentian bas

in Edisi Selangor KL by


SHAH ALAM – Seorang pemandu lori tidak menyangka objek dilihat ketika melalui sebuah perhentian bas di Seksyen 7, di sini rupa-rupanya bayi perempuan yang baru dilahirkan.


Dalam kejadian kira-kira jam 12.45 pagi tadi, bayi malang itu hanya dibalut dengan kain tuala berwarna merah jambu sebelum ditinggalkan di hentian basĀ  berdekatan Klinik Kesihatan Seksyen 7.


Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, bayi tersebut ditemui seorang pemandu lori yang dalam perjalanan menuju ke stor syarikat kateringnya.


Beliau berkata, curiga dengan objek itu menyebabkan pemandu itu memberhentikan kenderaannya untuk memeriksa dengan lebih dekat.


“Apabila mendekati objek itu, pemandu lori berkenaan mendengar tangisan dan mendapati seorang bayi.


“Dia kemudiannya membawa bayi berambut lebat itu ke Hospital Shah Alam untuk tindakan selanjutnya,” katanya.


Katanya, polis percaya bayi perempuan itu ditinggalkan di perhentian bas berkenaan sebaik dilahirkan.


“Siasatan awal mendapati bayi berkulit cerah berusia antara tiga ke tujuh hari itu berada dalam keadaan sihat serta cukup sifat.


“Tali pusat bayi juga sudah dipotong dan tiada sebarang nota atau barang ditemui ditinggalkan bersama bayi berkenaan,” katanya.


Baharudin berkata, pemeriksaan di lokasi mendapati tiada kamera litar tertutup (CCTV), namun usaha mengesan saksi atau waris bayi sedang giat dijalankan.


Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran bayi.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]