Bendahari JKKK terima elaun RM300 sebulan

in Edisi by


MARANG – Lebih 1,000 bendahari Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang baharu dilantik akan menikmati bayaran elaun sebanyak RM300 sebulan berbanding RM650 setahun sebelum ini.


Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, keputusan kerajaan negeri itu bagi memantapkan pengurusan MPKK atau dahulunya JKKK.


Menurutnya, elaun bagi pengerusi dan setiausaha pula masih lagi seperti biasa dengan sebahagian disalurkan oleh Kerajaan Pusat dan sebahagiannya daripada pihak kerajaan negeri.


Beliau berkata, bagi elaun pengerusi MPKK, ia akan dibayar sebanyak RM900 sebulan melalui peruntukan Kerajaan Pusat RM500 dan tambahan RM400 dari kerajaan negeri.


“Ini juga melibatkan pembayaran yang sama kepada setiausaha MPKK iaitu RM300 dari (Kerajaan) Pusat dan sebanyak RM200 dari kerajaan negeri. Yang berbeza kali ini cuma elaun bendahari.


“Kalau dahulu bendahari cuma dapat RM650 setahun tetapi kerajaan negeri membuat sedikit perubahan dengan membayar elaun RM300 sebulan menggunakan peruntukan negeri,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kem Jati Diri MPKK (JKKK) Daerah Dungun, di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur di Wakaf Tapai, di sini, semalam.


Azman yang juga merupakan Adun Jabi berkata, elaun untuk mengadakan mesyuarat dan pengurusan pentadbiran pula dikekalkan seperti biasa oleh Kerajaan Pusat kepada MPKK.


“Ini termasuklah bantuan geran fizikal dan bukan fizikal kepada setiap MPKK dengan jumlah tidak lebih RM10,000 setahun.


“Namun tuntutan ini perlu melalui beberapa prosedur yang akan diperincikan oleh pejabat daerah masing-masing kepada MPKK nanti,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]