Elak cetus konflik antara belia

in Edisi by


ALOR SETAR – Majlis Belia Malaysia (MBM) berharap Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak mencipta konflik yang boleh merencatkan proses perubahan yang dibawa beliau dalam terajui golongan belia.


Naib Presidennya, Jufitri Joha berkata, Syed Saddiq harus lebih sensitif terhadap penggunaan bahasa mahupun tindakan agar tidak menjauhkan golongan itu daripada menyokong aspirasi beliau.


Menurutnya, tindakan ‘membelasah’ pertubuhan belia dengan menggelar macai politik harus dielakkan dan lebih sesuai dilakukan di tempat tertutup.


“Kami faham mesej yang ingin beliau sampaikan agar pertubuhan belia tidak menjadi orang suruhan politik. Cuma perkataan digunakan kurang selesa dan disebut dalam Dewan yang mulia. Kita harap beliau lebih gunakan pendekatan sesuai yang mampu tarik belia untuk bersatu, bukan menjauhkan diri,” katanya, selepas hadir Dialog Gerakan Belia Pasca Malaysia Baharu, anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Kedah.


Jufitri berkata, kontroversi seperti itu harus dielakkan kerana pertubuhan belia harus menjadi golongan hadapan.


“Perjumpaan antara Menteri Belia dan Sukan bersama persatuan belia akan diadakan pada 13 Ogos, melibatkan semua pertubuhan belia utama. Apa-apa permasalahan lebih elok dibincangkan dalam perjumpaan seperti ini,” katanya.


Sebelum ini, Syed Saddiq mahu membersihkan persatuan belia daripada menjadi macai politik kepada kerajaan. Beliau turut bersetuju dengan cadangan agar pemimpin belia tidak memegang sebarang jawatan dalam parti politik selain mengkaji menurunkan takrifan umur belia kepada 30 tahun berbanding 40 tahun.


Mengulas cadangan itu, Jufitri berkata, pertubuhan belia merupakan kilang melahirkan kepimpinan masa depan dan yakin golongan itu matang serta rasional dalam menerajui persatuan mahupun parti politik.


“Apabila pegang jawatan selaku pemimpin persatuan belia, seseorang itu harus raikan kepelbagaian politik kalangan ahli, bersikap neutral dan adil. Memegang jawatan dan aktif dalam parti tiada masalah selagi bijak sesuaikan keadaan, pisahkan dua entiti itu mengikut situasi,” katanya.


Menurutnya, pergerakan belia juga harus mengubah cara berfikir daripada terlalu berpolitik kepada perjuangan asal, iaitu pembangunan belia dan negara.


“Jangan jadikan persatuan belia sebagai batu loncatan untuk terjun bidang politik. Anak muda mahu suara mereka didengari, sebab itu kita wujudkan Parlimen Belia, namun kini ia menjadi tempat proksi ahli politik dan kita perlu bebaskan Parlimen Belia daripada cengkaman politik,” katanya.


Jufitri berkata, Parlimen Belia bukan hanya untuk kelompok tertentu meraih populariti atau terhad kepada individu tertentu mengisi kuota.


“Banyak lagi isu belia yang perlu diberi perhatian seperti penyalahgunaan dadah dan sakit mental yang makin meningkat. Kita perlu beri peranan kepada belia termasuk sebagai pembuat dasar, perlu ada kombinasi antara dua generasi untuk atasi jurang,” katanya.


Mengulas gesaan agar Presiden MBM, Mu’ammar Ghadafi Jamal dan semua kepimpinan yang terlibat bawah kepimpinan Pemuda Umno perlu meletakkan jawatan bagi mengelak menjadi tunggangan politik Umno, katanya, semua pihak seharusnya menunggu pemilihan baharu yang dijadual bulan depan.


“Pemilihan dijangka akhir September depan, pastinya berlaku proses pertukaran kepimpinan tertinggi. Harap semua pihak bersabar, tunggu proses ini menerusi mesyuarat agung,” katanya.


Naib Ketua Pemuda Amanah, Shazni Munir Mohd Ithnin sebelum ini menggesa Mu’ammar Ghadafi meletak jawatan selain mendakwa tindakan itu sekali gus membebaskan MBM daripada kawalan parti politik.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]