Elak kempen bunuh karakter

in Nasional by


GEORGETOWN – Setiap calon yang terlibat dalam pemilihan PKR dinasihatkan tidak menjalankan kempen bersifat pembunuhan karakter atau tuduhan melampau.


Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu harus dielakkan kerana PKR adalah sebuah parti terbuka, mengamalkan demokrasi bebas dan memberi pilihan kepada anggota untuk memilih pemimpin yang mereka ingin sokong.


“Mereka boleh bebas memilih, bebas memberikan sokongan dan kecenderungan, tapi disiplin yang harus mereka awasi adalah untuk tidak terjebak, tidak terikut dan tidak terdorong menjalankan kempen fitnah.


“Kelebihan PKR ini dengan sistem satu anggota satu undi, patut diambil perhatian oleh calon yang bertanding kerana jangan sama sekali merendahkan kebijaksanaan anggota parti.


“Anggota parti buat pilihan mereka berdasarkan komitmen calon itu kepada perjuangan parti, sumbangan, idea dan kreativiti mereka,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada media selepas hadir pada sesi taklimat Mutiara Food Bank di Tesco Extra Sungai Dua, tadi.


Menurutnya, anggota parti juga boleh menilai dari segi pemimpin yang boleh meraikan perbezaan pendapat dan menghargai sumbangan akar umbi.


“Saya percaya anggota parti akan menolak pemimpin yang ghairah menggunakan kedudukan dan membina pengaruh politik peribadi.


“Sebab itu bercanggah dengan PKR yang merupakan parti reformasi. Anggota parti sedang tekun memerhati, sudah tentu saya anjurkan supaya kempen yang bersifat destruktif dielakkan,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]