Festival dan Anugerah Durian BGR sumbang RM10,000

in Nasional by


BANGI – Program Festival dan Anugerah Durian Bangi Golf Resort (BGR) berjaya menyalurkan derma sebanyak RM10, 000 ke dalam Tabung Harapan bagi melaksanakan tanggungjawab sosial.


Derma disampaikan Ketua Pengarah Hotel Bangi Putrajaya dan Bangi Golf Resort, Soh Chung Ky dan Pengerusi Bangi Golf Resort Durian Festival and Awards 2018 diserahkan kepada Setiausaha Politik kepada Menteri Pertanian, Ahmad Sabki Yusof di Bangi Golf Resort, hari ini.


Chung Ky berkata, derma ini adalah bukti semangat patriotisme pihak penganjur termasuk semua yang terlibat dalam festival terhadap negara.


Menurutnya, menjadi tanggungjawab pihak hotel untuk membantu negara selain mewujudkan suasana harmoni dalam kalangan rakyat.


“Dengan semangat membina komuniti dan menunjukkan solidariti untuk negara, semua keuntungan dari Festival dan Anugerah Durian Bangi Golf Resort 2018 hari ini akan disalurkan kepada Tabung Harapan Malaysia, ” katanya kepada Sinar Harian.


Dalam perkembangan lain, festival durian dan pertandingan durian perdana Bangi Golf Resort dilancarkan dengan beberapa siri aktiviti tumpuan buat pencinta durian dan pengusaha industri durian.


Menurutnya, festival yang menyediakan pasar pekebun durian, forum pengetahuan durian, Kejohanan Durian Dunia 2017 Edisi Malaysia dan fiesta durian itu membawa masyarakat setempat bersama cintakan durian.


“Sebenarnya kita mempunyai komitmen untuk menggabungkan teknologi dengan bidang pertanian di bawah platform hospitaliti.


“Kerana sebab itu juga Bangi Golf Resort turut menandatangani memorandum persefahaman dengan Institut Penyelidikan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dan Redtone untuk meningkatkan pengeluaran dan kualiti durian,” katanya.


Pengerusi Festival dan Anugerah Durian 2018 Bangi Golf Resort, Tan Ban Keat berkata, kedua-dua organisasi itu berjanji untuk bekerjasama dalam pelbagai aktiviti termasuk horikultur, mekanisasi dan automasi, teknologi kompos, teknologi makanan dan pemprosesan, pengurusan lebihan dan sisa makanan serta agro pelancongan.


Katanya, dalam tempoh lima tahun lagi sebuah kawasan yang turut dijadikan hub penanaman durian itu bakal menjadi sebuah pusat tumpuan pelancongan dalam mengenal 35 jenis durian yang terdapat di dunia.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]