Hampir 10 gerai terjejas dilanda puting beliung

in Edisi Terengganu by


TANAH MERAH – Hampir 10 gerai makan di tingkat atas Pasar Besar di daerah ini terjejas selepas dilanda ribut puting beliung yang datang secara tiba-tiba dan turut merosakkan bahagian atap zink tingkat dua bangunan itu.


Kejadian dipercayai berlaku ketika waktu Solat Jumaat sekitar jam 1.30 petang dan ketika itu ramai peniaga yang menghentikan operasi perniagaan untuk menunaikan solat.


Seorang peniaga masakan panas, Siti Khatijah Yani, 58, berkata ketika kejadian cuaca agak panas dan berangin.


“Saya pula sedang menyediakan makanan untuk pelanggan dan terdengar bunyi kuat dari bahagian atap zink seperti letupan kecil.


“Saya kemudian cuba dongak ke atas di bahagian atap dan nampak atap zink tercabut seperti ditarik sesuatu yang kuat. Saya pun terus larikan diri ke bahagian belakang selepas melihat kejadian itu,” katanya.


Siti Khatijah bersyukur gerainya tidak terjejas teruk, namun gerai makan menantunya, Nuraina Abdul Aziz, 34, terkena tempias memandangkan ia terletak betu-betul di bahagian tengah pasar di tingkat atas.


“Mujurlah dia juga sempat larikan diri dengan dua anaknya, berusia tiga dan enam tahun dan memberhentikan perniagaannya serta merta.


“Alhamdullilah semua peniaga yang berada di kawasan tingkat atas selamat dan tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu,” katanya.


Seorang lagi peniaga makanan, Rohayati Yakob, 53, berkata, semasa kejadian dia berada di gerainya dan terdengar bunyi bising seperti orang berlari di atas zink.


“Melihatkan keadaan itu, dia turut menyelamatkan diri dan meninggalkan gerainya selepas melihat atap zink tercabut satu persatu berserta dengan kehadiran angin berpusar yang kuat.


“Saya cabut lari selepas terkejut melihat keadaan itu, mujurlah tiada yang cedera dan hanya sedikit sahaja keadaan yang terjejas dan tidak melibatkan kedai saya,” katanya.


Keadaan kawasan gerai yang terjejas selepas dilanda puting beliung semalam.


Menurutnya, sepanjang 10 tahun berniaga di kawasan itu, kejadian itu paling menakutkan memandangkan keadaan cuaca cerah dan panas namun angin kuat datang tanpa diduga dan mengejutkan peniaga di kawasan itu.


Sementara itu, seorang lagi peniaga, Radanah Hassan, 50, berkata kejadian itu turut menjejaskan atap zink di bahagian gerainya.


“Semasa kejadian saya tiada di gerai dan hanya mengetahui mengenai insiden itu selepas sampai di gerai kira-kira jam 2.30 petang.


“Terkejut bukan kepalang selepas melihat keadaan atap zink yang bocor akibat dilanda angin puting beliung selepas diberitahu rakan niaga,” katanya.


Radanah turut mengharapkan bantuan dalam usaha membaiki semula atap zink yang rosak.


“Kami harapkan agar ada yang prihatin dengan nasib peniaga yang ditimpa musibah dan bantuan segera dapat disalurkan.


“Ini kerana kami hanya mengharapkan rezeki berniaga di Pasar Besar ini bagi menyara kehidupan dan keluarga,” katanya.

 


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]