Hapus tol, negara terus bankrap: Annuar

in Politik by


KLANG – Umno mendakwa negara akan bankrap sekelip mata sekiranya kerajaan melaksanakan penghapusan tol seperti dijanji kerajaan PH.


Setiausaha Agong Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata PH tidak perlu melaksanakan semua janji, hanya satu sudah cukup memudaratkan negara.


Katanya, sekiranya rakyat berfikir dahulu, mereka tidak akan ditipu kerajaan hari ini.


“Apa pun jatuhkan dulu, fikir kemudian. Sekarang ditanya dalam Parlimen, baru nak kaji. Cita-cita PH dah sampai, BN dah jatuh dah.


Tapi ‘happy’ lah orang Selangor sekarang ini, jalan tol semua tak payah bayar. Kalau kita fikir dulu, kita tak kena tipu,” katanya.


Menurutnya, kerajaan memerlukan dana RM500 bilion untuk membayar balik kepada tujuh atau lapan syarikat konsesi di negara ini


“Dr Mahathir bukan tak tahu…nak tutup tol kena bayar balik kepada syarikat konsesi berbilion. Ada tujuh, lapan konsesi seluruh Malaysia. Kalau nak hapuskan tol, kerajaan kena bayar hampir RM500 bilion.


“Kalau (tol) ditutup esok, esok juga Malaysia bankrap. Orang yang buat tol ini dulu siapa? (Datuk Seri) Najib (Razak) ke? Zaman Najib tak ada satu pun jalan tol (dibuat). Yang kita bayar tol ini dibuat oleh Dr Mahathir,” katanya.


Tegasnya, tol tidak boleh dihapuskan namun PH berjaya membuat rakyat percaya.


Katanya, Dr Mahathir begitu memahami orang Melayu yang mudah hanyut dengan perkara percuma dan tidak perlu bayar hutang.


“Mahathir sangat faham orang Melayu, beliau kata jangan risau Melayu itu mudah lupa. Beliau tahu orang Melayu suka dua perkara.


“Pertama, kalau hutang, tak payah bayar. Saya duduk di Mara (Majlis Amanah Rakyat) pening nak uruskan orang yang berhutang tak nak bayar. Kedua, seronok bila kita makan, orang lain bayar. Percuma,” katanya.


Dalam pada itu katanya, BN masih belum memutuskan soal SST yang perlu diluluskan di Dewan Negara nanti kerana ia menekan rakyat berbanding GST.

 


Source: SH Politik

[featured-video-plus]