Indonesia setuju serah kapal mewah kepada Malaysia

in Nasional by


JAKARTA – Indonesia bersetuju menyerahkan kapal mewah bernilai AS$ 250 juta yang dirampas di negara tersebut kerana dikaitkan dengan skandal rasuah kepada kerajaan Malaysia.


Memetik laporan Reuters, pihak berkuasa Amerika Syarikat merampas kapal layar Equanimity itu pada Februari lepas sebagai sebahagian daripada siasatan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).


Begitupun, mahkamah di Indonesia pada April lepas memutuskan kapal layar itu tidak wajar dirampas dan seharusnya dipulangkan semula kepada pemilik asalnya.


[ARTIKEL BERKAITAN: Skandal 1MDB: Indonesia rampas kapal Equanimity]


[ARTIKEL BERKAITAN: Jho Low diarah serah Equanimity]


Namun, kapal itu sekali lagi dirampas pada bulan lepas dan pihak berkuasa Indonesia memaklumkan akan memulangkan kapal itu kepada kerajaan Malaysia namun tidak memaklumkan butiran lanjut.


“Kapal itu akan diserahkan di kawasan sempadan perairan Indonesia dan Malaysia,” kata Timbalan Pengarah Jenayah Ekonomi dan Khas Kombes, Daniel Silitonga dalam satu pesanan ringkas kepada agensi berita tersebut.


Dalam laporan tersebut, Reuters turut mendakwa Daniel memaklumkan kapal tersebut masih berada di atas laut dan lokasinya berhampiran sempadan perairan Singapura dan Pulau Batam di Indonesia.


[ARTIKEL BERKAITAN: Kapal mewah dirampas : Jho Low perlu dihadapkan ke mahkamah


[ARTIKEL BERKAITAN: Terima kasih Polri sita kapal Jho Low]


Laporan berita itu juga menyatakan sumber mereka memberitahu persetujuan untuk memulangkan semula kapal layar itu dicapai berikutan permintaan daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.


Begitupun, cubaan untuk mendapatkan respons Dr Mahathir tidak berjaya apabila pejabatnya tidak memberi sebarang komen balas.


Dr Mahathir melakukan lawatan ke Indonesia pada Jun lepas, lawatan pertama beliau sebagai perdana menteri selepas mengambil alih tampuk pemerintahan daripada Datuk seri Najib Tun Razak.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]