Isu laluan Pokok Mangga selesai

in Edisi by


MELAKA TENGAH – Jalan Tali Air, Pokok Mangga di sini, kini kembali sempurna setelah dikatakan lebih lima tahun terbiar tanpa ada sebarang selenggaraan.


Keadaan jalan berkenaan sepanjang lebih dua kilometer menjadi penghubung penduduk ke Taman Seri Mangga sebelum ini didakwa berlopak-lopak dan becak.


Lebih buruk lagi, terdapat laluan yang runtuh dan dibiar begitu sahaja sehingga terjadinya beberapa kejadian membabitkan kereta dan motosikal terpelosok ke tepi tebing.  


Adun Kesidang, Seah Shoo Chin berkata, pihaknya menerima beberapa aduan daripada penduduk di situ yang menyatakan kebimbangan mereka terhadap keadaan permukaan jalan berkenaan.


“Terbaru, saya menerima aduan daripada pihak tokong berhampiran tentang kejadian penunggang motosikal telah terjatuh akibat runtuhan tebing pada titian yang menjadi laluan tali air.


“Laluan di sini amat sibuk terutama pada waktu penduduk pergi dan balik kerja malah ketiadaan kemudahan lampu awam di sini juga menyukarkan penduduk terutama pada waktu malam,” katanya.


Beliau ditemui ketika membuat tinjauan terhadap kerja-kerja yang telah disempurnakan oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri termasuk membaiki titian yang runtuh serta kerja-kerja penampalan jalan di Jalan Tali Air Pokok Mangga di sini.


Menurut Shoo Chin, laluan kerja-kerja penyelenggaraan laluan berkenaan selesai sejak dua hari lalu selepas memulakannya hampir dua minggu.


Usaha tersebut katanya, turut mendapat kerjasama daripada Pejabat Daerah Melaka Tengah, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Pegawai dari Jawatankuasa Penyelaras Dun (Japerun) Kesidang.


Turut sama sempena lawatan tersebut, Penghulu Dun Kesidang, Jefry Ahad, Penolong Jurutera Pejabat Daerah Melaka Tengah, Shahir Othman dan Pegawai Dun Kesidang, Jefry Mat.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]