Kanak-kanak lelaki nyaris lemas

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Seorang kanak-kanak lelaki nyaris lemas ketika bermandi-manda bersama tiga lagi rakannya di pantai Lagun berhampiran Masjid Tengku Tengah Zaharah atau Masjid Terapung, Kuala Ibai, di sini, semalam.


Dalam kejadian kira-kira jam 7 petang, mangsa, Mohd Iqram Hafizie Tarmizi, 7, dari Kampung Kubang Ikan, Chendering, di sini, bernasib baik apabila sempat diselamatkan orang awam yang berada di lokasi berhampiran.


Saksi kejadian, Wan Najidah Mahmud, 36, berkata, dia yang secara kebetulan keluar bersiar-siar bersama keluarganya di lokasi ternampak orang ramai sedang berkumpul berhampiran pantai.


“Disebabkan lalulintas yang agak sesak, suami sukar hendak mencari tempat parkir kereta sebelum saya bertanya kepada beberapa peniaga di kawasan itu untuk mengetahui sebab kenapa orang ramai berhimpun disitu.


“Saya dimaklumkan ada kejadian budak nyaris lemas, bagaimanapun sejurus itu, kereta kami ditahan tiba-tiba oleh seseorang yang meminta bantuan agar dapat menghantar mangsa ke hospital,” katanya kepada Sinar Harian.


Wan Najidah berkata, ketika itu, dia melihat keadaan mangsa sudah nyawa-nyawa ikan dengan wajahnya sudah kebiru-biruan.


Jelasnya, bimbang perkara tidak diingini mungkin akan berlaku dan demi menyelamatkan nyawa mangsa, dia bersetuju untuk membawa kanak-kanak itu ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini.


“Saya semakin yakin untuk membantu dia kerana turut ditemani seorang gadis yang memaklumkan dia baru sahaja tamat belajar dalam bidang kejururawatan.


“Sepanjang perjalanan, saya dapat lihat keadaan mangsa agak tenat tetapi gadis yang berasal dari Kuala Ibai, di sini, beberapa kali memberi bantuan CPR kepada mangsa sehinggalah akhirnya dia mampu untuk bercakap.


“Ketika itulah, kami cuba tanya nama dan mana mak ayah dia tinggal sebelum dia mampu menjawab satu persatu setiap soalan diajukan walaupun masih dalam keadaan lemah,” katanya.


Wan Najidah berkata, mangsa seterusnya dibawa ke Unit Kecemasan HSNZ sebelum diletakkan di zon merah.


“Mangsa bagaimanapun dilaporkan dalam keadaan stabil kini,” katanya.




 


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]