Kelantan buru satu mata di Alor Setar

in Sukan by


KOTA BHARU – Kelantan turun dengan misi memburu sekurang-kurangnya satu mata apabila berdepan Kedah dalam aksi pembuka tirai kumpulan C kempen Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, Alor Setar, malam esok.


Pemangku jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah berkata, ketiadaan empat tonggak skuad Lang Merah perlu dimanfaatkan sebaik mungkin skuad kendaliannya untuk mencari keputusan positif di gelanggang lawan.


“Kita perlu guna peluang dengan ketiadaan empat pemain utama mereka meskipun dalam masa sama kita kehilangan Nik Akif Syahiran (Nik Mat) di bahagian tengah pasukan.


“Jadi saya harap Kelantan dapat beri tentangan sengit di sini (Alor Setar) dan sudah tentu saya mahu pemain muda bertindak lebih agresif bagi mendapatkan keputusan terbaik  pada aksi sulung ini,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.


Kedah kehilangan Baddrol Bakhtiar, Akhyar Rashid, Mohd Rizal Ghazali dan Mohd Ifwat Akmal Che Kassim manakala Kelantan melepaskan Nik Akif Syahiran yang kini menyertai skuad bawah 23 tahun kebangsaan di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee sebagai persediaan menghadapi Sukan Asia Jakarta-Palembang, minggu depan.


Di sebalik situasi tidak menggembirakan di kem Kedah, pengendali kelahiran Perlis itu bagaimanapun tetap menganggap skuad bimbingan Mohd Nidzam Adzha Yusoff lebih senior dan matang tambahan pula mereka tampil dengan status finalis musim lalu.


“Ramai yang bercakap mengenai konsistensi pasukan Kedah namun saya berpandangan Kelantan perlu hormati mereka. Piala Malaysia merupakan pertandingan berprestij dan memerah pengalaman semua pemain.


“Walaupun Kedah tewas dalam aksi terakhir kepada PKNP FC tetapi saya tidak mahu terjebak dengan percaturan mereka. Saya berfikiran positif mengatakan Kedah pasukan terbaik namun kita berusaha mendapatkan mata walaupun ia agak sukar,” katanya.


Sementara itu, Yusri membayangkan tiada rombakan besar kecuali kekosongan Nik Akif Syahiran bakal diisi seorang pemain skuad Piala Presiden, pada pertemuan itu.


“Saya juga gembira apabila Baktiyar (Duishobekov) sanggup menolak panggilan negaranya (Kyrgyzstan) untuk beraksi dalam Sukan Asia semata-mata mahu meneruskan bakti bersama Kelantan.


“Ini merupakan pengorbanan besar dilakukan seseorang pemain antarabangsa. Apa yang Baktiyar lakukan wajar dicontohi pemain tempatan lain kerana pemain import seperti dia sedia berjuang bersama pasukan negeri,” katanya.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]