Kes pemalsuan dokumen SLMR RMMJ selesai

in Edisi by


JOHOR BAHRU – Suspek yang terlibat dalam sembilan kes pemalsuan dokumen Sijil Layak Memiliki Rumah (SLMR) yang melibatkan unit kediaman Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) di Taman Perniagaan Setia II, di sini, telah dikenal pasti oleh pihak polis.


Exco Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar Johor, Dzulkefly Ahmad berkata, berikutan itu, suspek yang terbabit dalam kegiatan penipuan itu akan ditangkap dalam tempoh terdekat untuk siasatan lanjut.


Menurutnya, malah laporan dan kertas siasatan juga telah disiapkan polis untuk dihantar ke pihak pendakwa raya bagi tujuan pendakwaan.


“Berhubung sembilan kes penipuan SLMR yang kerajaan Johor dedahkan baru-baru ini, saya ingin memaklumkan pihak polis sudah selesai menjalankan siasatan ke atas semua kes berkenaan.


“Suspek sudah dikenal pasti dan laporan serta kertas siasatan akan dihantar ke pendakwa raya bagi mendakwa kes berkenaan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara sehingg 10 tahun, denda dan sebatan jika sabit kesalahan,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan pelancaran siri ketiga pameran hartanah MyRumah 2018 di Komtar JBCC, semalam.


Dzulkefly berkata, oleh itu, pihaknya sekali lagi menegaskan Kerajaan Johor melalui Setiausaha Kerajaan negeri (SUK) Bahagian Perumahan tidak pernah melantik sebarang ejen atau individu bagi tujuan mendapatkan unit kediaman RMMJ.


Terdahulu, Kerajaan Johor berjaya mengesan sembilan kes pemalsuan dokumen SLMR membabitkan unit kediaman RMMJ di Taman Perniagaan Setia II, di sini dan satu laporan polis sudah dibuat kakitangan SUK Bahagian Perumahan pada 28 Jun lalu.


Ia membabitkan RMMJ bernilai RM150,000 iaitu jenis kluster teres dua tingkat.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]