Kon Yeow ajak hadirin kutip sampah sebelum pulang

in Nasional by


GEORGE TOWN – Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow malam ini mengajak orang ramai yang hadir pada Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2018 di Padang Kota Lama di sini bersama-sama memungut sampah sebelum pulang demi menjaga kebesihan padang itu.


Ucapan Kon Yeow lain dari yang lain kerana ini adalah kali pertama kali seorang pemimpin kerajaan negeri membuat seruan seperti itu demi menjaga kebersihan dan kelestarian pembangunan di Pulau Pinang selaras dengan slogan kerajaan negeri iaitu “Pulau Pinang Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat.”


“Saya menyeru kepada semua pengunjung yang hadir malam ini agar kita semua sebelum meninggalkan majlis, perlu pastikan bekas-bekas bungkusan dan segala sampah dikumpul serta dibuang di tempat yang disediakan.


“Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada rakyat Pulau Pinang dalam membbantu dan memberi sokongan menjadikan negeri ini sebagai yang terbersih di Malaysia,” katanya berucap pada majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan Dan Kibar Jalur Gemilang 2018 di Padang Kota Lama di sini malam ini.


Pelancaran majlis itu disempurnakan oleh Tun Dr. Mahathir. Turut hadir isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo dan barisan menteri.


Sementara itu, Kon Yeow berkata pemilihan Pulau Pinang sebagai hos Pelancaran Bulan Kebangsaan Dan Kibar Jalur Gemilang 2018 di Padang Kota Lama amat bermakna kepada negeri itu yang sekian lama ditinggalkan dari arus perdana program-program kerajaan persekutuan.


Beliau berkata sejak 2008 iaitu setelah menjadi negeri pembangkang, tiada majlis seumpama itu dilaksanakan di Pulau Pinang walaupun negeri itu memiliki segala kemudahan dan kelengkapan infrastruktur untuk majlis sebegini.


“Saya bagi pihak kerajaan negeri Pulau Pinang mengucapkan terima kasih kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan barisan menteri kabinet kerana memililh negeri ini sebagai hos pelancaran program ini.


“Sebelum ini Pulau Pinang bukan sahaja dianak tiri dari segi program, malah peruntukan pembangunan kepada kerajaan negeri juga dikurangkan…jadi saya bagi pihak rakyat berharap kerajaan persekutuan yang baharu dapat pertimbangkan peruntukan tambahan kepada kami agar kami dapat membangunkan semula negara ke puncak kejayaan serta kecemerlangan yang pernah dicapai,” katanya.


Beliau berkata di Pulau Pinang, cabaran bagi barisan exco penggal ini adalah untuk menunaikan 68 janji pilihan raya dalam manifesto “Saya Sayang Pulau Pinang” dan seterusnya membawa transformasi yang bermakna kepada rakyat khususnya demi mencapai kelestarian alam sekitar dalam pertumbuhan negeri.


“Kami akan terus berikhtiar untuk meneruskan prestasi yang cemerlang ini bagi menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri contoh setelah Pakatan Harapan diberi mandat ketiga untuk terus memerintah Pulau Pinang,” katanya.

 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]