Kula tak cukup sekadar maaf

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Gerakan Muslimah Islam Malaysia (GMIM) mendesak tindakan tegas diambil oleh  Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke atas Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran selepas bertindak mengeluarkan kenyataan yang boleh menggugat keamanan dan keharmonian kaum di negara ini.


Pengerusinya, Wan Asshima Kamaruddin berkata, walaupun Kula Segaran telah memohon maaf, namun, perasaan dan jiwa bangsa melayu sudah terguris sekali gus mahu siasatan dilakukan segera.


Menurutnya, GMIM juga turut berpendapat Naib Presiden DAP itu harus mengundurkan diri dari jawatan Menteri Kabinet.


“Adalah tidak wajar bagi seorang berstatus menteri yang mempamerkan tahap ilmu dan moral yang hebat memainkan sentimen perkauman yang boleh mencetuskan salah faham dan ketegangan dalam masyarakat.


“PDRM perlu bersikap lebih tegas dan adil untuk mengambil tindakan dan tidak berat sebelah walaupun mereka terdiri daripada Menteri dan peguam,” katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, sebentar tadi.


Sebelum ini, sebuah akhbar harian tempatan melaporkan, Kula Segaran mendakwa Melayu merupakan golongan pendatang di negara ini sementara penduduk asal merupakan penganut agama Hindu.


Namun, beberapa hari selepas itu, beliau memohon maaf dan menafikan kenyataan tersebut selain menyifatkan ia merupakan fitnah dan pembohongan yang telah diputar belit.


(ARTIKEL BERKAITAN :  Nafi keluar kenyataan Melayu pendatang)


Mengulas lanjut, kata Wan Asshima, kerajaan juga perlu mengambil serius isu sebegini agar keharmonian negara tidak tergugat dan mencetuskan ketegangan kaum.


“Justeru, di bawah pentadbiran Kerajaan PH yang diwar-warkan sebelum ini berprinsip ‘rule of laws dan konsep sama rata di sisi undang-undang berharap tiada ‘double standard’ didalam aspek tindakan undang-undang,” katanya.  


Sementara itu, Presiden Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik), Normala Sudirman berkata kenyataan Kula Segaran mengatakan Melayu hanya pendatang ,dan ungkapan mahu mengetuk kepala guru -guru sejarah yang tular di media sosial merupakan penghinaan kepada warga pendidik dan guru Sejarah.


“Ia seolah-olah guru buta Sejarah dan suatu penghinaan kepada kaum pribumi di Malaysia yang dulunya dikenali sebagai Semenanjung Tanah Melayu


“Pendidik kesal kerana setelah Malaysia bakal menyambut Hari Ulangtahun Kemerdekaan yang ke 61 tahun menjelang 31 Ogos 2018,kenyataan naif mutaakhir ini dibimbangi akan mencetuskan ketegangan kaum dan mencalar perpaduan negara,” katanya.


Dalam pada itu, kata Wan Asshima, GMIM turut memfailkan laporan polis terhadapa Fadiah Nadwa Fakir yang didakwa cuba memutarbelitkan sejarah tentang kedatangan Komunis ke negara ini.


“Dia juga telah menghina pejuang askar dan polis terdahulu yang mengorbankan nyawa mereka menentang komunis pada zaman dahulu.


“Kenyataan tersebut cukup sensitif dan ianya boleh menaikkan kemarahan masyarakat di negara ini,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]