Macma buka peluang sertai ibadah korban

in Edisi by


MUAR – Pusat Komuniti Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) Muar, mempelawa penyertaan mana-mana syarikat korporat mahupun individu untuk menyumbang haiwan ternakan bertujuan melaksanakan ibadah korban.


Pengerusinya Edi Tan Abdullah berkata, peluang itu masih dibuka bagi sesiapa sahaja yang berhasrat melakukannya dengan segala proses akan disempurnakan pihak Macma sendiri.


“Seperti tahun-tahun lalu, kita membuka peluang bagi yang ingin melaksanakan ibadah korban dengan sebahagian daging itu akan diagihkan kepada golongan memerlukan.


“Proses penyembelihan, melapah termasuk membungkus akan disempurnakan oleh kami,” katanya kepada Sinar Harian.


Menurut Edi, pada tahun lalu seramai 180 keluarga terdiri daripada mualaf, ibu tunggal dan golongan asnaf menerima manfaat daging korban hasil sumbangan sebelum ini.


“Tradisi sembelihan korban oleh Macma diadakan sejak beberapa tahun. Cuma pada tahun ini kita masih belum menerima sumbangan binatang yang ingin dikorbankan,” katanya.


Edi berkata, sejak ditubuhkan pada 2012, Macma Muar terus membantu golongan fakir miskin dan mualaf apabila sehingga kini mempunyai lebih 600 ahli yang berperanan sebagai sukarelawan badan berkenaan.


“Kita mengalu-alukan sumbangan orang ramai sama ada daripada segi wang ringgit mahupun barangan keperluan. Bagi mana-mana individu yang ingin menyumbang boleh menghubungi saya di talian 017-840 1547,” ujarnya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]