Mat Sabu terkejut jumlah keluar mengundi kurang

in Nasional by


SHAH ALAM – Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu mengakui terkejut dengan pengurangan jumlah peratus keluar mengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Sungai Kandis.


Namun begitu, beliau berkata perkara itu berkemungkinan disebabkan oleh tekanan diberikan untuk keluar mengundi pada kali ini agak kurang berbanding PRU14 lalu.


“Mungkin disebabkan mereka dah nampak kerajaan persekutuan telah bertukar dan kerajaan negeri ditadbir oleh PH, maka tekanan untuk keluar mengundi itu agak kurang,” katanya selepas pengumuman keputusan PRK Dun Sungai Kandis malam ini.


Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu memaklumkan bahawa situasi pengurangan jumlah peratus keluar mengundi ini juga pernah berlaku sewaktu PRK Dun Penanti pada 2009 lalu.


“Ini pernah berlaku di Penanti di mana jumlah keluar pada waktu itu bawah 50 peratus. Begitu juga tempat lain.


“Selalunya selepas pilihanraya, peratus keluar mengundi akan tidak keluar (untuk mengundi),”katanya.


Menerusi keputusan diumumkan SPR, calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni memenangi PRK Dun Sungai Kandis apabila mendapat undian majoriti sebanyak 5,842.


Namun begitu, jumlah peratus keluar mengundi dalam PRK kali ini tidak begitu memuaskan apabila hanya sekitar 49.4 peratus menunaikan tanggungjawab mereka.

 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]