Penduduk mahu hitam putih

in Edisi by


BALING – Cadangan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir supaya operasi kuari di Gunung Pulai dibatalkan disambut baik seluruh penduduk Baling.


Khabar gembira itu diumumkan Mukhriz pada 1 Ogos lalu.


Wakil penduduk, Abdullah Zakaria, 56, berkata, penduduk berharap ada jaminan daripada menteri besar bagi membatalkan projek tersebut.


“Penduduk nak hitam putih daripada Pejabat Menteri Besar sekiranya betul projek dibatalkan .


“Kami masih bimbang jika tak ada pengesahan. Harap kerajaan negeri bukan cuma nak sedapkan hati orang kampung,” katanya.


Menurutnya, jika projek ini dibatalkan, ia dalam sejarah arena politik tanah air.


“Daripada 1996 kami tunggu projek ini batal, zaman pemerintahan Pas, kerajaan negeri berjaya tangguhkan operasi ini.


“Jika Pakatan Harapan (PH) batalkan, ini dalam sejarah. Terima kasih juga kepada semua penduduk, Adun Kupang dan Bayu, media dan semua pihak yang bersatu hati pertahankan gunung ini,” katanya.


Pengerusi Majlis Bertindak Membantah Kuari Gunung Pulai, Mohd Sabri Mahmud berkata, Gunung Pulai perlu digazetkan sebagai industri pelancongan.


“Dengan cara ini, tak ada siapa boleh kacau mercu tanda Baling. Jika kerajaan baru naik sekalipun selepas ini, gunung tetap terjaga,” katanya.


Beliau berkata, penduduk bagaimanapun berterima kasih kepada Mukhriz di atas usaha membatalkan projek itu.


Tok Batin Masyarakat Orang Asli Ken Siu, Razali Kulim berkata, beliau mewakili masyarakat Orang Asli berterima kasih di atas hasrat kerajaan membatalkan projek tersebut.


Menurutnya, kerajaan hari ini melihatkan kepimpinan mereka cukup prihatin dalam menjaga alam sekitar dan khazanah Kedah.


“Kita (rakyat) dan kerajaan akan bersama memelihara dan menjaga khazanah itu,” katanya.


Menurutnya, ayahnya, Kulim Keramat,78, individu paling gembira apabila mengetahui kerajaan mahu hentikan projek itu.


“Kata ayah, Gunung Pulai harta amat berharga buat negeri ini.


“Ayah orang yang lebih tahu selok-belok Gunung Pulai, malah dia yang beritahu saya laluan orang lama bawa masuk gajah, lembu dan kerbau dibawa masuk dari Patani ke Baling,” katanya.


Tambahnya, secara tidak langsung, sejarah penempatan Orang Asli Ken Siu yang pernah tinggal di situ dapat dipertahankan.


Dalam pada itu, Pertubuhan Kebajikan Penduduk Daerah Baling (Perkeba) menyifatkan keputusan kerajaan mahu batalkan projek itu sebagai langkah tepat.


Yang Dipertuanya, Jhangir Khan Kathem Khan berkata, tiga projek kuari batu pernah dibuat termasuk satu masih dilaksanakan di Gunung Baling perlu dijadikan iktibar.


Menurutnya, ketiga-tiga projek itu nyata mengundang risiko keselamatan kepada rakyat.


“Operasi kuari batu pertama dijalankan di berhampiran Kampung Seberang Pekan dan kedua di Kampung Lubuk Batu sekitar tahun 70-an.


“Kawasan operasi dekat dengan jalan raya dan rumah penduduk. Apabila penduduk semakin ramai dan berlaku pencemaran, operasi tidak lagi dijalankan di situ dan sekarang aktif di Kampung Bawah Gunung Pulai,” katanya.


Beliau berkata, tiga projek kuari pernah dan sedang dijalankan hanya membawa keuntungan kepada syarikat dan individu tertentu, bukannya menguntungkan kerajaan negeri.


“Kerajaan tidak rugi apa-apa sekiranya batalkan projek kuari di Gunung Pulai. Ia bukan hasil utama Kedah,” katanya.


Sementara itu, sumber Persatuan Alam Sekitar Gunung Pulai Baling berharap, kerajaan mencontohi Jepun dan Korea Selatan dalam mewujudkan perkampungan lama.


“Di dua negara itu, kerajaan tidak ganggu kawasan gunung. Sebaliknya mereka wujudkan semula penempatan lama bagi tujuan pelancongan negara.


“Di Gunung Pulai kita boleh lakukan perkara serupa. Kita wujudkan semula


perkampungan, suasana dan cara hidup masyarakat silam bagi menarik pelancong,” katanya.


Katanya, daya tarikan yang ada mampu menjana ekonomi negara, negeri dan penduduk.


“Generasi akan datang dapat lihat kembali kehidupan, suasana dan budaya pernah ada di negara ini,” katanya.


Tambahnya, untuk ke arah itu, penduduk perlu berusaha keras tanpa harapkan bantuan kerajaan negeri semata-mata.


“Di Baling ramai anak jati yang berjaya, kita harap mereka tampil curahkan idea serta bantu dari segi kewangan untuk bantu majukan daerah ini,” katanya


Menurut sumber, pihak persatuan akan libatkan campur tangan Unesco bagi pertahankan gunung tersebut andai kerajaan negeri berubah keputusan.Ketiga-tiga projek itu nyata mengundang mengundang risiko keselamatan kepada rakyat.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]