Pesong fakta sejarah!

in Edisi by


ALOR SETAR – Pemuda Umno Kedah menggesa supaya tidak ada mana-mana pihak membenarkan komunis diiktiraf di negara ini termasuk usaha memasukkan sejarah perjuangan haluan kiri itu di dalam buku teks sekolah.


Ketua Pemudanya, Mohamad Fadzil Zolkipli berkata, usaha seperti itu perlu dikekang kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana dibimbangi fakta sejarah dipesongkan.


Menurutnya, penganjuran program seperti Forum Should We Rewrite Our History Book? (Haruskah Kita Menulis Semula Buku Sejarah?) itu harus dikekang kerana ia ternyata memesongkan fakta sejarah dengan cuba mengangkat perjuangan komunis.


“Apabila saya menilai kenyataan hasil perbincangan dalam forum itu, didapati kenyataan dibuat panelis sengaja untuk memesongkan fakta dengan menyatakan bahawa komunis memperjuangkan kemerdekaan.


“Jika benar komunis pejuang kemerdekaan, mengapa mereka masih berperang dengan kita sehingga 1989. Jadi kerajaan harus melakukan sesuatu dan jangan terlalu terbuka,” katanya.


Beliau berkata, kerajaan seharusnya memainkan peranan dengan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang usaha menggugat keharmonian negara kerana ia memberi kesan buat generasi akan datang.


“Rakyat memberi kepercayaan untuk menukar kerajaan dan bukannya menukar negara…kita ada prinsip yang perlu dipertahankan dan jangan memberi ruang buat sebarang usaha yang boleh mencetuskan perbalahan, “ katanya.  


Baru-baru ini, seorang aktivis menggesa kerajaan menilai semula buku teks sejarah dan memasukkan fakta mengenai perjuangan kemerdekaan golongan berhaluan kiri termasuk Komunis Malaya.


Beliau mendakwa, golongan kiri turut sama berjuang untuk kemerdekaan negara dan menggesa fakta tersebut perlu dimasukkan ke dalam buku teks sejarah bagi memberikan kefahaman kepada pelajar dan masyarakat.


Beliau juga mendakwa buku-buku teks sedia ada mempunyai fakta yang tidak tepat serta perlu diubah dengan memasukkan keseluruhan sejarah kemerdekaan negara termasuk perjuangan Parti Komunis Malaya (PKM).


Susulan itu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu laporan menegaskan cadangan memasukkan elemen perjuangan komunis dalam buku teks sekolah bukan cadangan kerajaan.


Sebaliknya, cadangan itu dilontarkan pihak lain yang tidak ada kaitan dengan kerajaan.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]