PKS catat pertumbuhan KDNK 72 peratus pada 2017

in Bisnes by


KUALA LUMPUR – Perindustrian kecil sederhana (PKS) telah menyumbang RM435.1 bilion pada tahun 2017, dengan merekodkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) benar sebanyak 7.2 peratus.


Hasilnya, sumbangan PKS terhadap KDNK meningkat kepada 37.1 daripada 36.6 peratus pada tahun 2016.


Pertumbuhan KDNK PKS yang lebih tinggi dicatat dalam semua sektor ekonomi utama, terutamanya dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan pertanian.


Dalam satu kenyataan SME Corp Malaysia hari ini berkata, PKS dijangka memainkan peranan yang lebih besar, bukan hanya sebagai pendorong tetapi sebagai pemacu utama pertumbuhan.


“Dalam tempoh 14 tahun yang lalu (2004-2017), pertumbuhan KDNK PKS benar secara konsisten telah mengatasi ekonomi keseluruhan dengan purata pada 6.6 peratus setahun berbanding pertumbuhan KDNK keseluruhan sebanyak 5.1 peratus.


“Dari segi eksport, eksport PKS telah merekodkan pertumbuhan yang tinggi sebanyak 7.9 peratus pada tahun 2017 berbanding 7.0 peratus pada tahun 2016, disebabkan oleh eksport komoditi yang tinggi, seperti kelapa sawit dan getah serta produk pembuatan, khususnya elektrik dan elektronik,” katanya.


Pada masa yang sama, eksport oleh syarikat besar mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak 17.9 peratus, dipacu oleh eksport produk elektrik dan elektronik, gas asli cecair dan minyak mentah yang tinggi.


“Hasilnya, sumbangan eksport PKS kepada eksport keseluruhan menurun kepada 17.3 peratus di mana pada 2016 iaitu 18.6 peratus.


“Dari segi nilai, eksport PKS mencatatkan peningkatan sebanyak RM12.3 bilion, menjadi RM167.4 bilion pada tahun 2017 berbanding RM155.1 bilion pada tahun 2016,” katanya.


Di samping itu juga, guna tenaga PKS terus meningkat, menghasilkan kenaikan sumbangan guna tenaga PKS kepada guna tenaga keseluruhan meningkat kepada 66.0 peratus pada 2017 berbanding 2016 iaitu 65.3 peratus.


“Prestasi yang menggalakkan ini disebabkan oleh pendekatan yang berstruktur dan selaras dalam pembangunan PKS serta kejayaan dalam melaksanakan inisiatif di bawah Pelan Induk PKS.


“Menjelang tahun 2020, Pelan tersebut menyasarkan sumbangan PKS kepada KDNK mencecah 41 peratus, eksport negara 23 peratus dan guna tenaga 65 peratus,” katanya.


Sementara itu, SME Corp. Malaysia berkata, pihaknya memainkan peranan yang penting dalam pembangunan usahawan dan PKS di Malaysia selaras dengan peranannya sebagai Agensi Penyelaras Pusat untuk PKS.


“Pada 2017, terdapat 168 program pembangunan PKS yang telah dirancang dengan peruntukan dana sebanyak RM10.4 bilion.


“Dalam konteks agensi penyelaras pusat ini juga, SME Corp. Malaysia telah mengambil langkah proaktif dengan membangunkan sistem maklumat dalam talian yang mengandungi maklumat penerima bantuan yang boleh diakses oleh semua Kementerian dan agensi melalui SME Central Incentives System (SCenIc),” katanya.


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]