Sambutan merdeka lebih bermakna

in Nasional by


GEORGETOWN – Sambutan hari kemerdekaan kali ini lebih bermakna kerana bukan sahaja bebas daripada penjajahan kuasa asing, tapi dari kezaliman kerajaan kleptokrasi.


Perdana Menteri, Tun Dr Mahahthir Mohamad berkata, ia adalah kejayaan yang luar biasa.


“Sesungguhnya rakyatlah yang membebaskan diri mereka. Dengan berani mereka keluar berduyun-duyun untuk mengundi menolak kleptokrasi.


“Walaupun terdapat banyak halangan dan ugutan, tetapi rakyat tidak gentar. Hasilnya ialah kejayaan yang luar daripada dugaan.


“Rakyat berhak gembira merayakan pencapaian mereka. Tidak banyak negara yang dapat menukar pemerintahan tanpa rusuhan,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2018 di Padang Kota Lama, hari ini.


Menurutnya, pemerintahan dahulu akhirnya terpaksa mengakui kekalahan dan menyerahkan kuasa pada PRU14 lalu.


“Oleh kerana ini adalah kemenangan rakyat, maka rakyat perlu nyatakan kegembiraan dengan mengibarkan Jalur Gemilang di semua pelosok negara.


“Biarlah dunia melihat bahawa kita selamat dan diselamatkan rakyat.


“Ya, negara kita dibeban dengan berbagai masalah kerana salah guna kuasa oleh pemerintah dahulu.


“Hutang kita bertimbun, jentera kerajaan rosak, kemiskinan melanda ramai rakyat, perniagaan dan dagangan merosot,” katanya.


Mahathir berkata, banyak masa perlu dihabiskan dalam usaha memulihkan negara.


“Tetapi berkat sokongan rakyat, kerajaan dapat berusaha mengatasi masalah ini dalam keadaan stabil.


“Kita tidak berminat untuk balas dendam, tetapi tindakan terpaksa diambil terhadap mereka yang membawa bencana kepada negara tercinta ini,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]