Sokong pindaan had minimum perkahwinan 18 tahun

in Edisi Selangor KL by


SERI KEMBANGAN – Kerajaan negeri menyokong cadangan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) supaya pindaan had umur minimum perkahwinan bagi wanita adalah 18 tahun berbanding 16 tahun di bawah undang-undang sedia ada.


Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud, cadangan itu selari dengan manifesto PH meletakkan had umur 18 tahun sebagai syarat perkahwinan sah.


Menurutnya, Selangor antara negeri yang teliti dalam prosedur perkahwinan dan belum ada rekod permasalahan perkahwinan bawah umur diterimanya.


“Saya menyokong penuh dan amat bersetuju dengan cadangan Mais dalam menyelesaikan masalah perkahwinan terlalu muda.


“Di Selangor kebanyakan rakyat mempunyai mentaliti terbuka yang menekankan aspek pendidikan dan tidak mahu anak-anak keciciran.


Kahwin bawah umur menyebabkan peluang mendapatkan pendidikan tipis dan berisiko dengan masalah sosioekonomi termasuk penceraian yang menyebabkan hidup terumbang-ambing,” katanya.


Beliau berkata demikian sebagai maklum balas  cadangkan pindaan kepada peruntukan di bawah Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 yang melibatkan had umur minimum bagi perkahwinan di bawah umur bagi orang-orang Islam di Negeri Selangor oleh Mais.


Ia susulan penularan kes perkahwinan kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dengan seorang lelaki berusia 41 tahun yang berlaku di Selatan Thailand, baru-baru ini.


Katanya, banyak faktor lain yang memerlukan kajian semula berhubung itu perlu dilakukan.


“Perbezaan jarak umur yang ketara dikhuatiri wanita terdedah kepada sasaran ‘sex predator’ atau gangguan seksual terhadap kanak-kanak.


“Bawah Akta 792 melindungi kanak-kanak bawah umur tetapi enekmen kerajaan negeri Selangor membenarkan perkahwinan bawah umur (16 tahun) menyebabkan berlakunya percanggahan undang-undang. Dari segi Islam perkahwinan itu sah tapi dari segi undang-undang boleh didakwa di bawah akta tersebut,” katanya.


Terdahulu, beliau merasmikan program jana pendapatan menerusi penjagaan kanak-kanak yang berlangsung di Dewan Kembangsari, di sini, hari ini.


Projek perintis dalam usaha pemberdayaan wanita itu membantu menjana pendapatan sehingga RM35 untuk satu jam melalui aplikasi Kiddocarer, perkhidmatan penjagaan kanak-kanak mengikut jam.

 


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]