Tak sabar sambut Aidiladha bersama keluarga

in Edisi by


JOHOR BAHRU – “Saya tidak sabar menyambut Aidiladha bersama isteri dan anak-anak,” luah Kamaruzaman Awi, 47.


Kamaruzaman merupakan nelayan Malaysia yang berjaya dibebaskan semalam, selepas ditahan di Pangkalan Penguatkuasa Laut (PSKD) Indonesia di Lanal Tarempa, Kepulauan Riau sejak April tahun lalu.


Tekong berkenaan tiba di jeti Stulang di sini, hasil usaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melalui Lembaga Kemajuan Ikan dan dijangka pulang ke kampungnya ke Dungun, Terengganu.


Bapa kepada tiga anak ini memberitahu, dia juga tidak sabar bertemu dengan keluarganya dan amat merindui mereka.


“Syukur, saya dapat kembali ke pangkuan keluarga. Pengalaman ini, benar-benar tidak akan dapat dilupakan,” katanya yang memberitahu tidak dapat menemui keluarganya sepanjang tempoh ditahan kira-kira 15 bulan berikutan kekangan kewangan.


Mengimbau saat ditahan, Kamaruzaman memberitahu, dia bersama tiga rakannya lain menangkap ikan di perairan Dungun.


“Tetapi, kami tidak perasan kami telah melepasi kawasan yang tidak dibenarkan oleh pihak berkuasa negara jiran,” katanya.


Bagaimanapun, Kamaruzaman mengakui apa yang berlaku tidak menyebabkan beliau rasa serik untuk kembali meneruskan pekerjaannya yang telah dilakukan sejak lebih 20 tahun lalu.


“Selepas ini, saya akan kembali turun ke laut. Tiada apa pekerjaan yang mampu saya lakukan untuk mencari rezeki demi kelangsungan hidup saya dan keluarga.


“Saya sendiri sudah gian untuk turun ke laut. Maklumkan laut sudah sebati dalam hidup saya. Namun, selepas ini saya akan lebih berhati-hati agar kejadian sama tidak berulang kembali,” katanya.


Ujarnya lagi, dia juga amat merindui masakan nasi bersama budu serta nasi dagang.


“Ketika di dalam penjarapun, hampir setiap hari saya hanya makan nasi berlauk tempe dan sayur kangkung,” katanya yang memberitahu tidak sabar menjamah masakan isterinya, Farizun Ngah, 42.


Terdahulu, beliau ditemui dalam satu sidang media bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub.


Salahuddin berkata, sepanjang tahun ini, seramai lima nelayan yang ditahan di Indonesia berjaya dibawa pulang.


“Seorang lagi nelayan, Abdul Rashid Nik, 53 dijangka akan dibawa pulang selepas ditahan pada April 2017 tidak lama lagi,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]