Wang hampir RM14,000 lesap

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Keputusan berani seorang penjawat awam mendedahkan nombor akaun dan nombor pin kad bank miliknya kepada individu tidak dikenali mengundang padah apabila wang simpanan di dalam bank tersebut berjumlah RM14,000 lesap dipercayai ‘disedut’.


Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, kejadian berlaku selepas wanita, 28, dari Kampung Bukit Kecil, di sini, menerima panggilan daripada individu tidak dikenali kira-kira jam 10.30 pagi, 29 Julai lalu.


Menurutnya, individu yang memperkenalkan dirinya ‘Leong’ seterusnya memaklumkan mangsa ada tunggakan hutang kad kredit dari sebuah bank berjumlah RM28,000.


“Suspek memberitahu seandainya mangsa gagal menjelaskan tunggakan hutang tersebut dalam kadar segera, semua akaun bank miliknya akan disekat untuk sebarang urusan.


“Bagaimanapun, semasa sedang berbual, talian itu disambungkan kepada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Sarjan yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.


Idris berkata, individu memperkenalkan diri sebagai ‘Sarjan Haikal’ memberitahu sekiranya mangsa gagal menjelaskan semua hutang kad kreditnya pihak bank terlibat akan menyenaraihitamkan namanya serta-merta.


“Sebelum itu, ‘Sarjan Haikal’ meminta nombor akaun dan nombor pin milik mangsa dengan alasan hendak membuat semakan di Bank Negara samada benar atau tidak mangsa ada berhutang.


“Mangsa tanpa berfikir panjang dan terlalu percaya dengan maklumat diterima terus mendedahkan kedua-dua nombor diminta yang merupakan terlalu peribadi untuk dikongsi,” katanya.


Kata Idris lagi, mangsa hanya menyedari dirinya sudah masuk perangkap sindiket penipuan Macau Scam selepas mendapati wang simpanannya berjumlah RM14,000 lesap begitu sahaja dipercayai ‘disedut’ pihak terbabit.


“Mangsa seterusnya membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya dan kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]