Warga emas dicekup main judi online

in Edisi by


MUAR – Seorang warga emas antara tiga individu yang ditahan selepas disyaki terlibat kegiatan judi atas talian (online).


Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintenden Idris Rajab berkata, kesemua suspek berusia antara 30 hingga 62 tahun itu ditahan selepas Bahagian Siasatan Jenayah dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar melakukan serbuan di sebuah pasar raya di bandar ini, awal pagi semalam.


“Lebih kurang jam 1 pagi, sepasukan polis dari Cawangan (D7) Bahagian Siasatan Jenayah IPD Muar menyerbu sebuah premis di Jalan Salleh di sini.


“Justeru, polis berjaya menahan tiga suspek termasuk rampasan sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk kegiatan perjudian atas talian serta wang tunai RM50.


“Siasatan polis mengikut Seksyen 4Ba Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang mana sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM100,000 bagi setiap mesin judi yang dirampas dan dipenjara tidak melebihi lima tahun,” katanya.


Menurut Idris, operasi pembanterasan kegiatan judi atas talian berkomputer dalam daerah ini adalah berterusan oleh pihak polis IPD Muar.


Pada masa sama, katanya, pihak polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai aktiviti perjudian berkomputer online agar dapat tampil menyalurkan maklumat berkenaan ke Bilik Gerakan Khas Kontinjen Johor di talian 07-2254422 atau Bilik Gerakan IPD Muar di talian 06-9526001.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]