Aidil Adha perlukan buah pinggang baharu

in Uncategorized by


IPOH – Seorang ibu tunggal, Aida Ghazali, 39 memohon bantuan orang ramai khususnya individu yang mahu menderma buah pinggang kepada anak sulungnya Muhammad Aidil Adha Muhammad Rizal, 14 yang  mengidap sakit buah pinggang sejak berusia setahun setengah.


Menurut Aida, sakit buah pinggang berkenaan secara tidak langsung telah memberikan kesan kepada Aidil Adha seperti penglihatan yang kabur, kebas-kebas badan selain mengalami tekanan darah tinggi.


Malah difahamkan, kesemua simptom berkenaan sekali gus menjadikan pelajar di Sekolah Menengah Kampung Dato Ahmad Said itu terpaksa menangguhkan persekolahannya sejak Januari lalu biarpun menyedari dirinya akan menduduki peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) tahun hadapan.


Tambah memeritkan, Aida, yang menjalankan perniagaan makanan di gerai yang disewa di sebuah restoran mengakui berdepan masalah kewangan serius pada ketika ini.

Rawi berbual bersama Aida dan Aidil Adha.


Aida turut mengakui tidak mampu menanggung kos rawatan dialisis anak sulungnya itu yang menelan belanja RM400 sebulan.


“Ini menjadikan pendapatan bulanan saya hanya berjumlah RM900 dan ditambah dengan bantuan daripada Baitulmal sebanyak RM400 sebulan.


“Daripada jumlah berkenaan saya perlu membayar sewa rumah RM400 sebulan, kos rawatan Aidil Adha (RM400) dan bakinya digunakan untuk perbelanjaan lain,” katanya.


Menurut ibu kepada dua anak ini lagi, dia sendiri terpaksa menangguhkan persekolahan Aidil Adha kerana anaknya itu terpaksa menjalani pembedahan kecil.


Katanya, pembedahan berkenaan bertujuan untuk memasukkan tiub ke saluran buah pinggang Aidil Adha bagi memudahkan proses memasukkan air yang sekali gus mencuci buah pinggang anaknya itu.

Kotak berisi perkakasan bagi memasukkan air dan mencuci buah pinggang Aidil Adha.


“Saya berhentikan Aidil Adha daripada sekolah Januari lalu kerana terpaksa menjalani pembedahan kecil.


“Tujuan pembedahan berkenaan adalah bagi memasukkan tiub ke saluran buah pinggang untuk memudahkan proses memasukkan air bagi mencuci buah pinggang dilakukan sendiri di rumah,” katanya.


Tambah Aida, bayaran sewa rumah yang didiaminya itu juga telah tertunggak selama dua bulan berikutan kekangan kewangan yang dihadapinya pada ketika ini.


Bagaimanapun katanya, mujurlah tuan rumah berkenaan membenarkannya untuk terus tinggal di situ, selain dengan bantuan orang ramai yang menyumbang barangan seperti perkakasan serta perabot rumah.


“Terima kasih kepada semua pihak yang membantu. Terima kasih kepada tuan rumah yang sangat memahami.


“Begitu juga kepada jemaah masjid di Kampung Tengku Hussien atas sumbangan mereka sebelum ini,” katanya.


Sementara itu, Pusat Khidmat dan Aduan BN Perak, Mohd Rawi Abdullah berkata, orang ramai dialu-alukan untuk menyalurkan sumbangan bagi membantu meringankan beban yang  ditanggung Aida.


“Kita juga merancang untuk wujudkan dana khas selain penderma yang bersesuaian untuk menderma buah pinggang kepada adik Aidil Adha,”  katanya.


INFO


Orang ramai yang mahu menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi  akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) atas nama Aida Ghazali 0810041000205479 atau menghubungi Mohd Rawi di talian 019-5168338.




 


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]