Azmin pertahan jawatan, bersaing dengan Rafizi

in Politik by


PETALING JAYA – [DIKEMASKINI] Penyandang Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengesahkan untuk mempertahankan jawatan tersebut dalam pemilihan kali ini.


Borang Pencalonan beliau diserahkan oleh wakilnya iaitu calon Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Hilman Idham dan calon ahli Majlis Pimpinan Pusat, Amirudin Shari pada jam 4.45 petang.


Penyerahan borang pencalonan tersebut menamatkan spekulasi mengenai jawatan yang akan ditandingi oleh Mohamed Azmin sebelum ini.


Selain itu, dengan pengesahan tersebut pertandingan bagi jawatan Timbalan Presiden PKR bakal menyaksikan pertembungan sengit antara Mohamed Azmin dengan seorang lagi calon iaitu Rafizi Ramli.


[ARTIKEL BERKAITAN: Rafizi sah bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR]


Sementara itu, Amirudin selepas menyerahkan borang pencalonan mengesahkan Mohamed Azmin akan mempertahankan jawatannya.


“Hilman adalah pencadang dan saya sebagai penyokong kepada pencalonan ini.


“Datuk Seri Mohamed Azmin mengucapkan salam kepada semua dan dia kini berada di Singapura menjalankan tugas sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi serta akan mengadakan pertemuan dengan pimpinan negara tersebut,” katanya.


Menurutnya, keputusan dibuat oleh Mohamed Azmin untuk bertanding berdasarkan kepada perbincangan di setiap peringkat.


“Ia bagi keutuhan parti dalam membentuk pentadbiran baharu. Jadi beliau ambil keputusan untuk pertahankan jawatan.


“Sebagai timbalan presiden sejak 2010, beliau berharap pertandingan kali ini mampu dilaksanakan secara baik. Anggota parti akan memilih berdasarkan rekod pencapaian Mohamed Azmin,” katanya.


Ditanya mengenai pertembungan antara Mohamed Azmin dengan Rafizi, Amirudin berkata, beliau tidak ada menyebut tentang perkara itu tetapi hanya mahu mempertahankan jawatan itu.


“Mohamed Azmin ambil keputusan pertahankan jawatan itu berdasarkan kepada perbincangan di setiap peringkat dan apa yang dilaksanakan selama ini,” katanya.




 


 


Source: SH Politik

[featured-video-plus]