Bangladesh sekat akses internet

in Global by


DHAKA – BANGLADESH. Pihak berkuasa Bangladesh bertindak menyekat akses data internet telefon bimbit seluruh negara bagi menangani insiden rusuhan dalam kalangan pelajar yang bertukar ganas.


Sejak minggu lalu, ribuan pelajar telah mengadakan tunjuk perasaan di ibu negara berhubung kelemahan aspek keselamatan jalan raya selepas dua remaja maut akibat dirempuh sebuah bas yang dipandu laju.


Bagaimanapun, tunjuk perasaan itu bertukar ganas semalam di kawasan kejiranan Jigatala, mengakibatkan lebih 100 orang tercedera.


Menurut saksi, pihak polis melepaskan tembakan peluru getah dan gas pemedih mata ke arah peserta malah beberapa aktivis pro kerajaan turut dilihat menyerang pelajar berkenaan hingga menyebabkan sebilangan mereka terpaksa mendapatkan rawatan di hospital.


Pengerusi Suruhanjaya Perundangan Telekomunikasi Bangladesk (BTRC), Jahirul Haq berkata mereka menerima arahan daripada kerajaan untuk berbuat demikian.


Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai arahan itu.


Sementara itu, polis menafikan tuduhan mereka melepaskan peluru getah dan gas pemedih mata bagi menyuraikan rusuhan berkenaan.


Parti pemerintah, Parti Liga Awami turut menafikan penyokongnya memukul pelajar berkenaan.


Minggu lalu, Kementerian Pendidikan menutup sekolah tinggi dalam usaha meredakan rusuhan, berjanji kepada pelajar, tuntutan mereka untuk pembaharuan keselamatan jalan raya akan dipertimbangkan. – AFP


Source: SH Global

[featured-video-plus]