Bantah aktiviti kuari, pembalakan

in Edisi Utara by


KULIM – Satu surat permohonan akan dihantar ke Pegawai Daerah Kulim supaya mesyuarat jawatankuasa dapat dilaksanakan bagi menyelesaikan isu bantahan penduduk Kampung Sungai Tengas, baru-baru ini.


Ia berikutan pada Julai lalu, penduduk Kampung Sungai Tengas membuat bantahan terhadap aktiviti kuari dan pembalakan yang didakwa berlaku di kawasan Hutan Simpan Gunung Bongsu.


Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, mesyuarat jawatankuasa daerah perlu diadakan segera sebagai langkah penyelesaian isu penduduk setempat di situ.


“Saya akan tulis surat kepada Pegawai Daerah Kulim untuk mohon supaya mesyuarat jawatankuasa daerah diadakan segera.


“Dengan meja rundingan yang disertai semua agensi termasuk penduduk, kontraktor ia lebih berkesan untuk selesaikan masalah ini.


“Kenapa perlu ambil masa lama, penduduk kampung pun bukan minta apa sangat cuma nak hak mereka seperti memberikan semula permit air yang disekat sejak beberapa tahun lalu,” katanya pada program pertemuan dengan penduduk Kampung Sungai Tengas, di sini.


Saifuddin turut menjelaskan pada Rabu lalu, beliau mendapat maklumat daripada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengenai status isu itu.


“Saya mendapat maklumat, Pengarah Jabatan Hutan Kedah memaklumkan tiada lagi kerja pembalakan dilakukan selepas surat arahan henti pembalakan dikeluarkan.


“Kontraktor akan menghentikan aktiviti namun mahu mengeluarkan kayu balak yang ditebang, kemungkinan bunyi mesin itu kerana perlu lakukan proses mengkatam kayu sebelum dikeluarkan.


“Kontraktor juga setuju akan membawa keluar semua jentera selepas proses tersebut selesai,” katanya.


Mohon kerajaan tunai empat tuntutan


Selain itu, Jawatankuasa Badan Bertindak Membantah Pembalakan di Gunung Bongsu, Suhar Mohd Sharif berkata, penduduk memohon kerajaan menunaikan empat tuntutan mereka dengan segera.


“Hari ini kita mengutarakan bantahan kali kedua terhadap isu pembalakan dan kuari di sini dihentikan serta-merta tanpa sebarang syarat.


“Kedua kita minta supaya geran Lot PT686 dan kompartment 28 Hutan Simpan Gunung Bongsu dibatalkan segera tanpa sebarang syarat dan diwartakan kembali sebagai kawasan Hutan Simpan Kekal Gunung Bongsu.


“Kita juga mahu ia digazetkan sebagai KSAS (Kawasan Sensitif Alam Sekitar) tahap satu yang tak boleh diteroka sampai bila-bila.


“Jabatan berkaitan menghalang kami memperbaharui permit air, kita harap jabatan itu bagi kebenaran semula dengan kadar segera tanpa alasan tak munasabah,” katanya.


Katanya, lebih 1,000 penduduk yang akan menerima musibah sekiranya perkara ini diteruskan termasuk menghadapi risiko banjir kilat sehingga kehilangan nyawa.


“Perkara ini sudah berlaku jiran kita di sebelah sana, di Sungai Kob dua beranak meninggal dihanyut arus deras ini adalah punca daripada pembalakan yang sebelum ini tidak pernah berlaku,” katanya.


Pengusaha ternakan kambing dan ternakan ikan arowana juga khuatir dengan kualiti air sungai yang akan menyebabkan risiko kerugian sekiranya aktiviti tersebut terus berlaku.


“Kami risau perusahaan kami akan mengalami kerugian, sehingga menyebabkan sumber pendapatan penduduk yang bekerja di sini hilang.


“Kami mohon kerajaan tolong bantu selesaikan segera bantahan yang kami bawa ini,” katanya.


Terdahulu akhbar turut melaporkan penduduk Kampung Sungai Tengas mengadakan bantahan aman dan menyerahkan memorandum berhubung isu itu kepada Saifuddin.


Difahamkan, Gunung Bongsu berkenaan diwartakan berkeluasan 7,835 hektar sebagai Hutan Simpan Kekal sebelum merdeka iaitu pada 1931.


Namun, ia diubah sebahagian status hutan dan hak milik kepada MBI pada 2009.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]