BN menang moral di Sungai Kandis

in Politik by


SHAH ALAM – BN menerima kekalahan pada PRK Sungai Kandis secara terbuka, namun menegaskan beberapa perkara menunjukkan perkembangan positif termasuk bibit-bibit permulaan kerjasama antara Umno dan Pas pada masa akan datang.


Setiausaha Umno Selangor, Datuk Johan Abd Aziz berkata, kekalahan BN sememangnya satu perkara yang sudah dijangka namun secara positifnya, majoriti dan peratusan keluar mengundi yang semakin berkurang dilihat sebagai isyarat positif daripada rakyat.


“Pertamanya ia menjadi titik mula kerjasama antara Umno dan Pas di mana Pas beri laluan kepada kita di Sungai Kandis dan kita akan laluan kepada mereka di Seri Setia.


[ARTIKEL BERKAITAN: PKR pertahan Sungai Kandis]


“Dari segi peratusan mengundi, mungkin pengundi merasakan tiada keperluan untuk keluar kerana ia tidak mengubah apa-apa.


“Tetapi kita lihat majoriti mereka menang juga berkurang, dan pada saluran anak muda pula mungkin mereka sudah bosan atau muak dengan kerenah janji dan sebagainya yang dibuat kerajaan hari ini,” katanya.


Menurutnya, bagi PRK Dun Seri Setia, BN akan memberikan laluan kepada Pas untuk bertanding malah akan membantu Pas dari segi jentera kempen.


“Ya, dari segi kekalahan itu kita terima, namun dari segi moral ada perkara positif untuk kita selain bermulanya titik pertemuan antara Umno dan Pas, jadi ini juga satu kejayaan bagi kita.


“Sudah pasti, sudah pasti. Kalau Pas putuskan untuk bertanding di Seri Setia, kita pasti akan membantu mereka berkempen,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]