Gadis Melayu raih tempat kelima Miss Universe New Zealand

in Global by


AUCKLAND – NEW ZEALAND. Peserta Miss Universe New Zealand 2018 kelahiran Malaysia, Nurul Zuriantie Shamsul, muncul sebagai pemenang tempat kelima dalam pertandingan yang diadakan di Auckland’s Sky City Theatre, semalam.


Anak kelahiran Ampang, Selangor ini antara 20 finalis yang berjaya mara ke peringkat akhir pertandingan itu.


Nurul yang berpindah ke New Zealand ketika berusia lima tahun ini kelihatan anggun berhijab warna emas dan menyarungkan busana rona yang sama.


Anak gadis Melayu berdarah campuran Indonesia ini berkata, antara saat terindah pada pertandingan itu adalah melihat kedua-dua ibu bapanya yang penuh rasa bangga melihat dirinya diumumkan sebagai lima finalis teratas.


Pelajar tahun akhir jurusan Psikologi di University of Waikato, Hamilton, New Zealand itu mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang menyokongnya menyertai pertandingan ratu cantik itu.


“Alhamdulillah untuk tempat kelima ini. Saya berterima kasih kepada semua yang menyokong saya. Ia tidak berlaku tanpa kasih sayang dan sokongan anda. Ia begitu bermakna untuk saya.


“Ini hanyalah permulaan dan saya tidak sabar untuk apa yang ALLAH telah rancang untuk saya. Hari ini juga hari ulang tahun ke-21 saya dan saya akan meneruskan fasa kehidupan seterusnya,” katanya dalam satu catatan di laman Instagramnya.


Nurul merupakan satu-satunya peserta Asia, beragama Islam dan bertudung. Dia juga mencatat sejarah sebagai peserta bertudung pertama berjaya mara ke pentas akhir pertandingan ratu cantik itu di New Zealand.


Sementara itu, peserta berusia 27 tahun, Estelle Curd dimahkotakan sebagai pemenang Miss Universe New Zealand 2018, sekali gus mewakili negara itu bagi pertandingan Miss Universe ke-67 yang bakal berlangsung di Bangkok, akhir tahun ini.




 


Source: SH Global

[featured-video-plus]