Jangan politikkan royalti minyak

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Isu royalti minyak bagi negeri ini turut mendapat perhatian badan bukan kerajaan (NGO) Terengganu yang berharap ia mampu diselesaikan sebaik mungkin di antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri dalam masa terdekat ini.


Pengerusi Gerakan Muda Berjaya (GMB) Terengganu, Norlukmal Mat Ghani berkata, royalti untuk Terengganu adalah hak rakyat Terengganu dan ia sepatutnya tidak dijadikan sebagai isu kepartian.


Menurutnya, kerajaan negeri sepatutnya diberi hak untuk memberikan royalti kepada rakyat Terengganu dan amanah itu harus diberi kepada pihak kerajaan negeri bagi menguruskannya sendiri tanpa timbul isu kepartian.


“Jika kerajaan persekutuan mempunyai masalah dari segi kepartian, saya menggesa dan menyarankan supaya kerajaan baharu (PH) mewujudkan jawatankuasa khas untuk mentadbir urus dana untuk royalti yang diberikan kepada  Terengganu.


“Saya di bawah NGO keusahawanan merayu supaya jawatankuasa ditubuh melibatkan pakar atau profesional daripada keusahawan negeri Terengganu yang mana untuk menjaga usahawan-usahawan di negeri ini,” katanya kepada Sinar Harian.


Norlukmal berkata, penglibatan itu penting seperti mana rancangan kerajaan untuk memperkasakan usahawan bumiputera khususnya dari pantai timur supaya golongan itu mendapat manfaat khususnya peluang-peluang pekerjaan sekali gus memberi impak kepada ekonomi dalam negeri dan juga negara.


Katanya, berkenaan pembahagian peraturan pengeluaran pula, ia sepatutnya bukan berdasarkan keuntungan tetapi beliau setuju pembahagian dibuat bergantung kepada pengeluaran kerana dari segi pengeluaran, kerajaan negeri boleh memantau dan melihat sebanyak mana jumlah pengeluaran yang dibuat dari Terengganu.


Sebaliknya beliau berkata, jika dibuat berdasarkan keuntungan, ia akan bergantung kepada pentadbiran atau tadbir urus yang dilantik kerajaan untuk menguruskan bisnes yang dibuat dan lebih mudah jumlah bayaran royalti berdasarkan pengeluaran dan bukan keuntungan.


Dalam masa sama, Norlukmal mendesak kerajaan negeri lebih aktif dan tegas memohon dana menuntut royalti yang sepatutnya diberikan kepada rakyat Terengganu direalisasikan secepat mungkin memandangkan ekonomi dan harga barangan tidak menentu ketika ini khususnya kepada usahawan.


“Kami selaku NGO sangat berharap kerajaan negeri mengambil perhatian serius dalam mengurus atau memastikan royalti minyak untuk rakyat Terengganu dapat direalisasikan dan kami menuntut supaya jumlah royalti yang diberikan ini memberi fokus lebih besar kepada pembangunan keusahawanan, pembangunan modal insan usahawan di negeri ini.


“Ia sekali gus menjadikan ekonomi Terengganu akan lebih berkembang cepat selain membantu kerajaan negeri membangunkan sosio ekonomi penduduk dan rakyat Terengganu.


Sebelum ini, Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bertegas mahukan pembayaran royalti minyak sebanyak lima peratus berdasarkan hasil pengeluaran dan bukannya keuntungan.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]