Kajian sama ada Sarawak perlu Ordinan Pendidikan

in Edisi Sabah Sarawak by


SIBU – Satu kajian perlu dilakukan bagi menentukan sama ada Sarawak memerlukan Ordinan Pendidikan bagi membolehkan kerajaan negeri merangka serta melaksanakan polisi pendidikannya sendiri pada masa depan.


Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi, Dr. Annuar Rapa’ee berkata, kajian itu penting kerana hal ehwal pendidikan selama ini berada di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan.


Menurutnya, ordinan tersebut akan memberi kuasa kepada Kementerian Pendidikan Sarawak untuk merangka dasar pendidikan yang ada kaitan dengan keperluan serta kepentingan Sarawak yang sedang menuju ke arah industrilisasi.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Klinik Latihan Intensif Kecemerlangan (KLIK) SPM 2018 di Universiti Kolej Teknologi Sarawak (UCTS), di sini hari ini.


Seramai 250 pelajar sekolah menengah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Nangka akan mengikuti latihan tersebut selama 10 minggu.


KLIK merupakan anjuran Persatuan Graduan Bumiputera Sibu dengan kerjasama Pusat Khidmat Dun Nangka dan UCTS yang sudah masuk tahun kelima. -Bernama


Source: SH Edisi Sabah Sarawak

[featured-video-plus]