Kelebihan kuasai Mandarin

in Edisi Selangor KL by


PANDAN INDAH – Perpaduan adalah elemen penting bagi memastikan kestabilan sesebuah negara.


Sikap toleransi yang wujud antara masyarakat berbilang kaum dan agama menzahirkan kebersamaan.


Pegawai Khas Adun Teratai, Mohd Firdaus Babh atau lebihi mesra dengan panggilan Pak Pen berkata, masyarakat harus memahami antara satu sama lain untuk hidup dalam keadaan aman.


“Tanpa kita memahami antara satu sama lain, pelbagai prasangka dan salah faham akan timbul,” katanya.


Pak Pen berkata, perpaduan juga harus dipupuk sejak kecil.


“Kita tidak boleh dimomok dengan isu perkauman, kita harus tukar mentaliti dan persepsi itu kerana kita adalah bangsa Malaysia,” katanya.


Fasih bertutur Mandarin sejak kecil


Pak Pen merupakan anak kelapan daripada 11 adik beradik memaklumkan, beliau juga  fasih bertutur dalam bahasa Mandarin sejak kecil.


“Keluarga telah menghantar saya ke Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Chin Woo sehingga darjah enam, adik beradik saya seramai lapan orang turun bersekolah di sekolah jenis kebangsaan cina,” katanya.


Beliau berkata, alasan utama ibu bapanya menghantar Pak Pen bersama adik beradiknya yang lain ke sekolah berkenaan adalah dekat dengan kawasan perumahan mereka.


“Sekolah yang paling hampir dengan rumah adalah sekolah jenis kebangsaan cina, kelebihan sekolah tersebut juga banyak terutama dapat mempelajari bahasa bangsa lain,” katanya.


Pak Pen berkata, sekolah berkenaan juga terlalu memfokuskan kepada pendidikan.


“Gurunya pula ‘garang’ kerana mahu anak muridnya berjaya, konsep yang paling saya suka di sekolah berkenaan adalah mereka mendidik kita untuk lebih berdikari, sebagai contoh mereka mendidik kerja agar bersama mencari dana sekolah melalui pelbagai aktiviti,” katanya.


Menurutnya, kawan-kawan sekolahnya berpeluang mempelajari bahasa Melayu daripadanya.


“Hanya saya sahaja yang cemerlang dalam subjek bahasa Melayu, saya menjadi rujukan kawan-kawan lain, malah mereka juga turut membantu saya dalam subjek bahasa mandarin serta pelajari budaya mereka,” katanya.


Pak Pen juga aktif dalam Pasukan Bomba Sukarela (PBS).


Selesai kes cubaan bunuh diri


“Antara pengalaman yang tidak boleh saya lupakan apabila pernah berhadapan dengan seorang wanita warga China cuba mencederakan dirinya di sebuah hospital, mangsa lebih selesa bercakap bahasa Mandarin, pada ketika itu tidak ada sesiapa boleh bertutur dalam bahasa tersebut.


“Saya cuba berinteraksi dalam bahasa Mandarin dengan wanita berkenaan selama setengah jam, akhirnya saya berjaya menenteramkannya,” katanya.


Menurutnya, berbahasa Mandarin juga banyak membantu dalam bidang pekerjaannya.


“Banyak manfaat kerana kelebihan ini juga dapat meningkatkan keyakinan diri apabila berhadapan masyarakat sekeliling,” katanya.


Beliau juga berkata , pendidikan budaya di negara ini juga penting dalam kalangan masyarakat.


“Selain pemahaman bahasa kedua atau ketiga, memahami budaya lain juga penting, punca keretakan perpaduan adalah kita tidak memahami budaya kaum lain,” katanya.




 


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]