Kolaborasi UMT, China dalam pelayaran saintifik

in Edisi Terengganu by


KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus melebarkan sayap kejayaan apabila buat julung kalinya berkolaborasi menerusi pelayaran saintifik bersama dua agensi di bawah State Oceanic Administration, China.


Kedua-dua agensi yang terlibat itu adalah First Institute of Oceanography (FIO) dan National China Sea Marine Forecasting Center (NMFC).


Timbalan Pengarah (Penyelidikan dan Perkhidmatan) Institut Oseanografi dan Sekitaran (Inos) UMT,  Profesor Madya Dr Mohd Fadzil Mohd Akhir berkata, pelayaran yang merentasi Laut China Selatan dan Selat Melaka itu telah berlangsung lebih dua minggu menggunakan RV Discovery milik universiti berkenaan.


Jelas Mohd Fazil yang juga ketua saintis itu lagi, pelayaran tersebut menggabungkan usaha pelbagai saintis serta kepakaran teknologi dari kedua-dua negara.


“Penyelidikan tersebut memberi tumpuan kepada dua matlamat iaitu untuk memahami dinamik ‘upwelling’ yang merupakan proses utama dalam menggalakkan produktiviti air laut seterusnya meningkatkan industri perikanan negara.


“Dengan memahami kesan perubahan iklim serta pengaruh musim terhadap arus lautan, kajian saintifik yang terperinci membolehkan untuk memahami peranan cuaca dan arus terhadap sumber perikanan.


“Pembinaan sistem ramalan lautan yang sedang dibangunkan dalam usahasama ini bakal menggunakan data lautan sebagai kriteria utama dalam memastikan produk yang dihasilkan adalah lebih tepat.


“Sistem ramalan ini bakal membantu dalam meramal suhu, arus dan gelombang bagi memudahkan akses orang awam terutamanya pengamal industri seperti perikanan dan petroleum,”katanya.


Menurutnya lagi, penggunaan teknologi terkini dalam pemgambilan data seperti suhu, saliniti, arus, nutrien, klorofil dan mikroplastik turut dilakukan.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]